KUALA LUMPUR - Anak penyanyi sebuah kumpulan terkenal era 90-an dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Rabu atas pertuduhan mencuri sebuah kereta mewah milik seorang ahli perniagaan wanita, dua minggu lepas.
Norqyyum Zainori, 29, dan anak penyanyi itu, Mohd Aliff Naim Mohd Azmir, 38, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, mencuri sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 milik seorang wanita berusia 53 tahun di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Hillview, Hulu Kelang pada jam 11.08 pagi, 17 November.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Ferrari sama, dengan mengetahui bahawa kenderaan itu adalah harta curi pada tempat, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala Mohd Aliff Naim dan Norqyyum masing-masing diwakili peguam Mohd Firdaus dan peguam Wan Nur Afifah Che Bakar.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan enam individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kereta mewah jenis Ferrari yang dilaporkan hilang pada 17 November di sebuah pusat cuci kereta di Hulu Kelang.- Bernama