GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menahan 11 lelaki di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang disyaki terlibat dengan kumpulan menjalankan kegiatan jenayah terancang dan berleluasa.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua mereka ditahan dalam siri serbuan bermula jam 3.30 pagi semalam menerusi Op Cantas Mutiara di sekitar Pulau Pinang.
Iklan
Iklan
"Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang, dibantu oleh Bahagian Jenayah Terancang (B14) dan Bahagian Operasi Khas (D8) Bukit Aman, hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak beberapa minggu lepas.
"Berdasarkan siasatan, 11 lelaki yang ditahan menerusi operasi itu adalah anggota sebuah kumpulan jenayah terancang dan bergiat aktif sejak 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata semua mereka direman selama 28 hari sehingga 28 Disember ini di bawah Seksyen 4 (5) SOSMA dan kes itu disiasat bawah Seksyen 130v Kanun Keseksaan. - Bernama