Lawatan kerja Dubai, Perak raih potensi pelaburan lima syarikat

Iklan
Saarani ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Aspesiasi 'Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani' dan Penyerahan Watikah YP Smart Target SPM 2024 peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Rabu.

IPOH - Perak raih komitmen pelaburan daripada lima syarikat luar bagi menyokong pembangunan industri halal di negeri ini susulan lawatan kerja rasmi ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Lahore, Pakistan, minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaburan syarikat dari China, India dan Pakistan itu membawa potensi besar kerjasama dalam industri antaranya farmaseutikal dan pengeluaran gelatin halal di Taman Industri Halal Perak (Perak HIP) dekat Lekir.

Iklan
Iklan

"Kita sudah ada halal hub iaitu HIP di Lekir.

"Apabila kita buat tawaran dan promosi supaya mereka datang melabur ke HIP, syarikat-syarikat ini menyatakan komitmen dan bersedia datang untuk melihat kawasan itu," katanya.

Iklan
Saarani menyampaikan sijil penghargaan kepada barisan pakar motivasi yang menjayakan Majlis Aspesiasi 'Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani' dan Penyerahan Watikah YP Smart Target SPM 2024 peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Ipoh pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Aspesiasi 'Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani' dan Penyerahan Watikah YP Smart Target SPM 2024 peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.

Perak HIP seluas 47 hektar yang diselia Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dijangka mula dibangunkan pada 2025 dengan fokus kepada tiga segmen utama iaitu ekosistem industri gelatin halal, logistik dan sejuk beku serta pemprosesan makanan dan daging.

Iklan

Tapak strategik yang terletak di jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) akan dilengkapi teknologi hijau, Internet of Things (IoT), persijilan halal, Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Mengulas lanjut, Saarani berkata, lawatan ke dua negara terbabit pada 17 hingga 22 November lalu bertujuan memperkukuhkan hubungan antarabangsa dan menarik pelaburan berkualiti untuk pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, dalam lawatan itu, delegasi kerajaan negeri turut menghadiri Malaysia International Halal Showcase (MIHAS@ Dubai) di Dubai World Trade Centre yang perasmiannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kerajaan negeri dapat mengadakan sesi perbincangan bersama dua syarikat terkemuka dunia dalam sektor agro, iaitu Olam Group dan Kumpulan Allana.

"Perbincangan dengan Olam Group akan menumpukan kepada peluang kerjasama dalam perdagangan pertanian, pembangunan infrastruktur moden serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Kerjasama strategik dengan Kumpulan Allana pula dijangka memperkukuhkan kedudukan Perak sebagai hab pengagihan serantau bagi produk makanan," katanya.