JERTIH - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar pokok tumbang di Kampung Apal di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan, Md Sani Md Saleh berkata, polis menerima maklumat kejadian yang menimpa mangsa Muhammad Syukri Mat Hussin, 27, kira-kira 4.30 pagi.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan ke tempat kerja.
"Ketika sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebatang pokok kelapa tumbang melintang ke tengah jalan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar pokok berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.
Md Sani berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Noraini Muhammad Zin di talian 013-4384239.
Polis turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati terutama pada musim hujan bagi mengelakkan kemalangan," katanya. - Bernama