KUALA LUMPUT - Kerajaan memperuntukan sebanyak RM1.19 juta untuk Program Perantisan Kepimpinan Wanita 2024 (PERANTIS) dalam usaha mengangkat martabat wanita dalam pelbagai bidang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, menerusi program tersebut sebanyak 26 permohonan diluluskan dengan penglibatan 1,544 peserta di seluruh negara.
Menurutnya, mereka terpilih telah melalui saringan ketat daripada 13 ahli panel yang pakar dalam pelbagai bidang.
"Program PERANTIS memberikan peluang kepada wanita untuk memperkasa diri dan menjadi pemimpin muda yang berwibawa. Kejayaan ini juga didorong oleh pendekatan 'wanita menyokong wanita'.
"Pada tahun depan ada perbezaan memandangkan kita akan menumpukan penglibatan politik dalam kalangan wanita. Ini kerana, penyertaan wanita dalam kepimpinan di Malaysia masih rendah dengan skor pariti politik hanya 0.102 berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2022.
"Lihat sahaja Ahli Parlimen wanita di Dewan Rakyat, jumlahnya sangat kurang. Oleh itu, kita sahut cabaran agar wanita belajar ilmu politik," katanya selepas merasmikan peluncuran Program PERANTIS 2024.
Tambah beliau, mempunyai ilmu politik tidak semestinya seseorang itu menjadi ahli politik tetapi sekurang-kurangnya mereka faham dan jelas mengenai perjalanan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat.
"Apa yang penting kita mahukan wanita memahami politik dalam setiap peringkat sama ada negeri atau Persekutuan.
"Bahkan kita memberi peluang kepada mereka mengalaminya sendiri melalui latihan praktikal yang disediakan," jelasnya.
Justeru, Nancy berharap program itu akan memberi manfaat besar kepada wanita Malaysia dan menarik lebih ramai penyertaan.