Pelatih Palapes UiTM meninggal dunia kerana strok haba - Polis

Iklan
Hussein

SHAH ALAM - Tiada kesan kecederaan luaran dikesan terhadap seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang meninggal dunia, 13 November lalu, semasa menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia disebabkan strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.

Iklan
Iklan

"Punca kematian ialah disebabkan 'heat stroke with multiorgan failure' dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Hussein berkata, bapa penuntut terbabit dimaklumkan anaknya telah dimasukkan ke Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri di padang kawad pada 10 November.

Iklan

Katanya, hasil siasatan polis mendapati penuntut terbabit telah menyertai Palapes di UiTM Shah Alam sejak penghujung Oktober lalu dan sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas bermula pada tahun hadapan.

"Pada hari kejadian, penuntut terbabit telah didenda oleh jurulatih melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian sebelum dilihat melompat-lompat lalu terjatuh rebah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pelatih terbabit telah pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, semasa rawatan di wad kecemasan Zon Merah, pelatih terbabit dalam keadaan separa sedar dan mengalami suhu badan yang tinggi.

"Rawatan awal telah diberikan dalam usaha untuk hidrasinya namun tidak memberikan tindak balas positif.

"Pelatih berkenaan telah mengalami kekejangan dan rawatan susulan telah diberikan sebelum dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi," ujarnya.

Jelas beliau, sehingga kini, polis telah mengambil keterangan sembilan saksi termasuk bapa pelatih terbabit yang membuat laporan polis pada 15 November.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Khairi Kamaruddin di talian 012-2666025," katanya.

Sebelum itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki berhubung kematian anaknya, yang dikaitkan dengan kejadian buli sewaktu menjalani sesi latihan seliaan jurulatih tentera di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Sementara itu, UiTM telah melaksanakan penelitian semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisme pemantauan berhubung aktiviti kokurikulum badan beruniform di universiti itu.