KUALA SELANGOR - Mayat seorang lelaki berseluar dalam ditemukan di tepi pantai Kampung Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu mengenai penemuan itu pada jam 2.16 petang.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati mayat yang tidak dikenal pasti identiti itu dalam keadaan terlangkup di lokasi berkenaan.
"Lelaki berkulit cerah itu didapati hanya berseluar dalam dan berbaju kelabu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Azaharudin memberitahu, pemeriksaan pada tubuh mangsa juga tidak menemui butiran pengenalan diri dan tiada sebarang unsur jenayah.
Sehubungan itu, katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan.