DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan penguatkuasaan pematuhan papan tanda iklan di enam lokasi pusat beli-belah pada tahun ini, dengan 31 notis kesalahan telah dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.
Menurut DBKL, operasi itu membabitkan pematuhan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976.
DBP memaklumkan, mengikut Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982, semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa asing dalam satu papan tanda atau iklan sama tidak dilarang sama sekali.
Justeru, DBP menyokong sepenuhnya tindakan penguatkuasaan DBKL terhadap pemilik premis yang mempamerkan iklan tanpa lesen yang sah serta tidak mengutamakan bahasa kebangsaan pada papan tanda iklan.
Bagaimanapun, tindakan itu mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang mengutarakan hujah dan pandangan tersendiri berhubung isu tersebut.
SETUJU
Tunjuk kepelbagaian bahasa, bangsa
Pada pandangan saya, tidak menjadi satu kesalahan yang besar sekiranya menggunakan bahasa asing dalam papan tanda atau iklan.
Ini kerana, negara kita mempunyai kepelbagaian bangsa dan bahasa, maka tidak salah jika kita bersama-sama meraikan kelainan tersebut.
Pada akhirnya, kita akan dapat memupuk semangat perpaduan yang mendalam dalam kalangan masyarakat.
Malah, penggunaan bahasa asing selain bahasa Melayu boleh mencerminkan identiti dan imej negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum kepada pelancong asing.
Papan tanda iklan boleh menjadi medium perantara penting dan mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam menyampaikan sesuatu mesej dengan mudah dan cepat.
Secara tidak langsung, ia dapat memudahkan perhubungan atau komunikasi dengan pelancong asing dan akhirnya meningkatkan kemasukan mereka ke negara, sekali gus ekonomi negara berkembang pesat.
Ia juga akan memberikan kesan positif kepada pelancong asing kerana mereka berasa mudah untuk memahami tanda arah dan memudahkan percutian mereka ke negara kita.
Justeru, penggunaan bahasa asing ini bukanlah menggambarkan penindasan atau pengabaian terhadap bahasa Melayu, namun ia boleh dijadikan salah satu inisiatif untuk menarik pelancong asing ke Malaysia.
- Guru tuisyen, Lau Yu Jie, 22
Pupuk semangat perpaduan tinggi
Pada pendapat saya, penggunaan bahasa asing dalam papan tanda atau iklan boleh memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Sekiranya bahasa kaum lain yang terdapat di negara ini dan negara luar mampu dipelajari serta difahami, sudah tentu kita akan dapat mengenali budaya dan adat resam kaum tersebut dengan lebih mendalam.
Kita boleh menggunakan papan tanda atau iklan ini sebagai salah satu cara atau platform menyatupadukan rakyat menerusi penyampaian dengan pelbagai bahasa dan seterusnya meningkatkan perpaduan.
Secara tidak langsung, kadar pelancong dari luar negara yang datang ke Malaysia dapat bertambah dari masa ke masa susulan keharmonian yang ditonjolkan.
Selain itu, penggunaan bahasa asing juga akan menimbulkan minat orang ramai untuk mempelajari bahasa tersebut dan secara tidak langsung akan meningkatkan penguasaan banyak bahasa.Pada era kini, penggunaan bahasa asing menjadi keperluan terutamanya dalam percakapan harian masyarakat yang kebanyakannya menggunakan pelbagai bahasa seperti Inggeris dan sebagainya.
Justeru, penggunaan bahasa asing akan menjadi nilai tambah terutamanya kepada masyarakat itu sendiri kerana menguasai lebih daripada satu bahasa.
- Penulis bebas, R Yashwin, 30
BANGKANG
Bahasa kebangsaan difahami semua golongan
Kita perlu mencontohi Jepun yang mana papan tanda dipenuhi bahasa kebangsaan kerana rakyat negara itu sangat mengagungkan bahasa ibunda mereka.
Sebagai rakyat Malaysia, penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda akan memudahkan semua golongan masyarakat untuk memahaminya kerana bukan semua orang menguasai bahasa asing.
Penggunaan bahasa kebangsaan pada semua papan tanda juga akan memberikan keseragaman yang indah untuk dipandang, selain memelihara bahasa Melayu.
Bahasa kebangsaan perlu dihormati dan dimartabatkan bagi mewujudkan satu negara yang aman dan bersatu-padu.
Ia juga secara tidak langsung dapat melahirkan generasi yang mahir bahasa Melayu kerana banyak kosa kata yang kini jarang digunakan boleh diletakkan pada papan tanda untuk meningkatkan kemahiran berbahasa.
Malah kita juga akan kurang kebergantungan kepada bahasa asing dan memperkasa bahasa kebangsaan akan menunjukkan identiti sebuah negara.
Membanggakan dan mencintai bahasa kebangsaan akan menjadikan negara terlihat gah di mata dunia.
- Editor sari kata, Nurul Shazlin Saharudin, 26
Langkah penting martabat bahasa Melayu
Tiada keperluan menggunakan bahasa asing pada papan tanda atau iklan di negara ini kerana kita perlu memartabatkan bahasa Melayu.
Pendapat bahawa penggunaan bahasa asing akan menghalang perkembangan sektor pelancongan di negara ini merupakan alasan tidak munasabah dan tidak masuk akal.
Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Korea, Jepun dan Perancis sangat mengagungkan bahasa kebangsaan mereka dan boleh dikatakan hampir semua papan tanda tidak menggunakan bahasa asing.
Ia tidak pula menjadi penghalang kepada negara tersebut untuk terkenal di mata dunia, malah sektor pelancongannya semakin rancak dengan kemasukan pelancong dari pelbagai negara.
Jika dilihat, ramai yang ingin mempelajari bahasa negara-negara berkenaan.
Kita sepatutnya menjadikan negara-negara tersebut sebagai contoh dan mengangkat bahasa Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa.
Justeru, langkah memartabatkan bahasa kebangsaan ini bukan satu langkah ke belakang dan ia tiada kaitan dengan sentimen perkauman atau menafikan bahasa asing.
- Penjawat awam, Mohd Eyzal Ikram Mohamad, 37