SHAH ALAM – Seorang bekas pengurus kejuruteraan di Vietnam sanggup meninggalkan kerjaya berpendapatan RM20,000 sebulan demi minat mendapat dalam 'dunia' paranormal.
Hanizamal Abu Hanifah, 46, berkata, keputusan dibuat enam tahun lalu itu berbaloi apabila aktiviti yang dilakukan secara sambilan kini mendatangkan rezeki kepadanya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Fizik Gunaan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu mengakui memang berat untuk meninggalkan alam pekerjaan tetap yang menjadi mata pencarian selama ini.
"Pada mulanya keputusan untuk berhenti kerja memang mendapat tentangan keluarga.
Difahamkan Hanizamal menerusi Solo Ambush merupakan perungkai misteri pertama di Malaysia yang membuat siaran langsung aktiviti di lokasi yang menjadi pilihannya.
Sehingga kini Solo Ambush mempunyai lebih sejuta pengikutnya di TikTok, Facebook dan YouTube.
"Memang ramai yang cuba ikut apa yang saya buat, cuma bezanya Solo Ambush ia merungkai misteri yang menjadi bualan masyarakat setempat.
"Cuma bezanya saya pergi ke lokasi berkenaan seorang diri untuk mencari kebenaran dan bukan mereka-reka cerita hantu,” tegasnya.
Anak ketiga dari lima beradik itu berkata, sehingga kini lebih 1,000 lokasi di dalam dan luar negara telah dijelajahi bagi memenuhi permintaan peminatnya.
"Saya gemar aktiviti mendaki gunung dan setiap kali mendaki dan akan buat siaran langsung di media sosial. Satu hari ketika melakukan pendakian saya melintas di hadapan sebuah banglo usang.
"Jadi atas permintaan ramai, saya masuk dalam rumah banglo itu, tak sangka sambutan amat memberangsangkan dan di situlah Solo Ambush bermula,” katanya
Jelas anak kelahiran Sabah itu lagi, dia pernah menawarkan diri untuk membantu pasukan keselamatan mencari dua pencari siput yang hilang di Pantai Remis, Manjung pada 18 Jun lalu.
"Saya memiliki sebuah paramotor dan lesen untuk mengendalikannya.
"Jadi saya melakukan tinjauan udara untuk mengesan mangsa yang hilang namun gagal dan sehingga ini kehilangan mereka masih menjadi misteri,” ujarnya.