SHAH ALAM - Pelbagai faktor menyumbang kepada isu gangguan emosi pelajar di sekolah selain masalah yang dibangkitkan berkaitan tekanan peperiksaan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohd Azizee Hasan berkata, penghayatan nilai-nilai agama perlu ditingkatkan kepada semua pelajar sebagai satu cara bagi menangani masalah tersebut.
Menurutnya, bilangan guru kaunselor terlatih di sekolah juga perlu ditambah agar bersesuaian dengan nisbah pelajar pada hari ini.
"Dalam menangani isu ini, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) disaran agar menyediakan modul holistik iaitu penekanan kepada peningkatan penghayatan nilai-nilai keagamaan selain latihan pengurusan kaunseling terapi emosi kepada guru-guru di semua sekolah.
"Kementerian juga disarankan untuk melaksanakan ujian kesihatan mental sebanyak dua kali setahun kepada pelajar bagi mengesan gangguan emosi dalam kalangan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas laporan KPM melaksanakan Saringan Minda Sihat sebagai mekanisme pengesanan awal bagi mengenal pasti murid yang menghadapi masalah gangguan emosi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who berkata, inisiatif itu dilaksanakan sekali setahun kepada semua murid Tahun Lima hingga Tingkatan Enam, manakala murid yang dikenal pasti mempunyai masalah gangguan emosi teruk dan sangat teruk akan dilaksanakan Saringan Minda Sihat dua kali setahun.
Jelas Mohd Azizee, faktor- faktor lain yang turut mempengaruhi gangguan emosi adalah latar belakang keluarga, perceraian ibu bapa, persekitaran pembelajaran sekolah, gangguan buli dan gangguan seksual dari rakan-rakan dalam bentuk fizikal, siber ataupun lisan.
Dalam pada itu, katanya, pengaruh luar seperti ancaman teknologi, media sosial serta disiplin diri murid terutama aspek kerapuhan penghayatan keagamaan turut menyumbang kepada masalah berkenaan.
Menurutnya, sesi libat urus dengan ibu bapa secara berkala perlu diadakan terutamanya bagi anak- anak yang telah dikenal pasti menghadapi masalah tersebut.
"Kongres juga mencadangkan agar ditingkatkan kualiti pengajaran guru di dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) melalui latihan, coaching dan mentoring.
"Semua proses ini memerlukan penglibatan yang aktif dari semua pemegang taruh pendidikan seperti Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, Majlis Kaunseling Daerah, Negeri dan Kebangsaan,” ujarnya.
Tambahnya, kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Negeri, Jabatan Perpaduan dan hospital juga sangat diperlukan untuk membantu murid- murid melalui penerapan nilai dan pengukuhan amalan positif di dalam diri termasuk rawatan klinikal psikologi.
Menurutnya, pelaksanaan pencegahan awal perlu dilakukan selain intervensi kepada murid yang dikenal pasti melalui modul sedia ada seperti Modul Minda Sihat, Modul Prisma dan Modul Kesihatan Remaja.