TAKDIR adalah satu perkara yang sering kita persoalkan, terutama apabila hidup tidak berjalan seperti yang kita rancang.
Ada kalanya kita bertanya,"Kenapa aku? Kenapa sekarang?” Soalan-soalan ini, walaupun manusiawi, sering kali membawa kita kepada jurang ketidakpuasan dan kekecewaan.
Namun, apa yang kita lupakan adalah bahawa takdir bukan musuh yang perlu dilawan, tetapi realiti yang perlu diterima.
Berdamai dengan takdir bermaksud menerima apa sahaja yang berlaku dengan hati yang terbuka.
Ia bukan bermaksud pasrah atau menyerah kalah, tetapi lebih kepada meyakini bahawa setiap yang terjadi mempunyai hikmah tersendiri.
Dalam Islam, konsep ini dikenali sebagai reda iaitu menerima ketentuan ALLAH dengan penuh keikhlasan, walaupun ia pahit untuk ditelan.
Sebagai manusia, kita cenderung ingin mengawal segala-galanya. Kita membuat perancangan, bekerja keras dan berharap hasilnya seperti yang kita impikan.
Tetapi apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang kita mahukan, kita berasa kecewa. Kesukaran ini berpunca daripada keterikatan kita kepada hasil bukannya proses.
Contohnya, seseorang yang telah lama berusaha untuk naik pangkat atau jawatan di tempat kerja mungkin kecewa apabila gagal setiap kali ada kekosongan.
Namun, dia lupa bahawa penolakan itu mungkin membawa kepada sesuatu yang lebih baik di masa hadapan.
Apabila kita mampu berdamai dengan takdir, hati menjadi lebih tenang. Kita tidak lagi dibelenggu oleh penyesalan terhadap perkara yang telah berlalu atau ketakutan terhadap masa depan.
Berdamai dengan takdir juga membantu kita menjadi individu yang lebih matang, kuat dan bijaksana dalam menghadapi cabaran hidup.
Justeru, berdamai dengan takdir adalah proses yang memerlukan masa dan kesabaran. Tidak mengapa jika kita mengambil masa untuk memahami hikmah di sebalik sesuatu.
Ingatlah, takdir bukanlah penghujung jalan, tetapi sebahagian daripada perjalanan.
Dengan menerima takdir, kita membuka ruang untuk pengembangan, kebahagiaan dan ketenangan jiwa.
Jadi, mulailah hari ini dengan doa, usaha dan keyakinan bahawa apa sahaja yang berlaku adalah sebahagian daripada rancangan terbaik-Nya untuk kita.