PADA zaman sosial media ni, Merak Jalanan nampak ramai yang ada satu ‘skill’ luar biasa – jadi juri tak bertauliah untuk kehidupan orang lain.
Apa-apa saja yang orang buat, mesti nak komen, nak kritik dan nak persoalkan. Bukan itu saja, ada yang siap boleh berlagak macam boleh baca takdir hidup orang lain sejak dari awal sampai akhir.
Kalau ada orang post gambar kahwin,"Eh, dia ni kahwin dengan siapa? Sesuai ke pasangan dia tu?”
Kalau orang itu pergi melancong,"Duit dia ni halal ke? Ada buat kerja tak elok ke?” Pendek kata, otak dan tangannya berhubung laju menaip di papan kekunci.
Padahal, realitinya kita sendiri pun belum tahu takdir hidup kita sendiri. Entah esok kita kaya atau papa kedana, sihat atau sakit terlantar, siapa tahu?
Tapi ada jugalah yang lebih rela jadi ‘stalker profesional’ kehidupan orang lain daripada betulkan kompas hidup sendiri.
Cuba tanya balik diri, apa kita dapat dengan sibuk selongkar kehidupan orang lain? Kepuasan?
Atau sebab kita takut tengok cermin dan sedar, kita ni sebenarnya masih merangkak dalam hidup, tapi lebih senang tunjuk jari pada orang lain?
Sebab itulah Merak selalu ingat, takdir seseorang itu hak ALLAH. Kalau Dia tentukan seseorang berjaya, kaya, bahagia – itu rezeki dia. Kalau ada ujian berat melanda, itu pun takdir daripada ALLAH untuk menguatkan dia.
Siapa kita nak soal? Kita ini pun, bila ditanya malaikat nanti, bukan soalan tentang kehidupan orang lain yang akan keluar.
Tapi,"Apa yang kau buat dengan hidup kau sendiri?”Jadi, daripada sibuk jadi ‘pemerhati tetap’ kehidupan orang lain, apa kata kita sibukkan diri untuk capai matlamat sendiri?
Hidup ini pendek, masa kita pun terhad. Baik kita guna untuk perbaiki diri dan kejar kebahagiaan yang ALLAH sudah janjikan. Itu pun kalau kita berusaha.