SHAH ALAM - Kos perubatan hospital swasta meningkat sebanyak 12 peratus setiap tahun susulan kegunaan pelbagai teknologi canggih yang tersedia.
Perunding Takaful, Nurul Ain Mohamad Harun berkata, teknologi canggih yang berkos tinggi itu menjadikan bayaran perubatan mengalami kenaikan secara automatik.
"Jika sekiranya kos perubatan meningkat, secara langsung ia memberi kesan kepada bayaran premium yang akan mengalami kenaikan.
"Ia bergantung kepada dana sesuatu tabung untuk membayar kos perubatan kepada hospital.
"Apabila kos meningkat dan jumlah pesakit pun bertambah ramai, maka terpaksalah dinaikkan harga premium bagi setiap pemegang polisi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu meneliti semula mekanisme kawalan caj hospital swasta yang dilihat semakin meningkat setiap tahun.
Menurutnya, ia bakal membebankan hospital kerajaan jika tidak ditangani segera kerana pesakit mungkin kurang berkemampuan untuk membayar bil dikenakan hospital swasta.
Tambah Nurul Ain, pemegang polisi wajar untuk menaik taraf had tahunan pembiayaan takaful atau insurans kepada jumlah yang lebih besar bagi menampung kos perbelanjaan rawatan hospital kelak.
"Kos pembedahan bagi penyakit yang biasa berlaku seperti contoh sakit tulang belakang memerlukan sekurang-kurangnya RM60,000, manakala pembedahan jantung dan kanser paling kurang berjumlah RM100,000.
"Harganya memang akan meningkat setiap tahun. Jika dahulu pembiayaan RM100,000 itu mencukupi bagi perubatan dalam setahun namun kini tidak lagi.
"Jadi pemegang polisi perlu menaikkan had tahunan supaya dapat menampung jumlah bil yang akan dikenakan,” katanya.