KULAI - Kawasan rekreasi Taman Eco Rimba Gunung Pulai 1 ditutup sementara bermula semalam kerana dipercayai dicemari virus kencing tikus atau leptospirosis.
Pegawai Daerah Kulai, Mohd Radzi Mohd Amin berkata, penutupan selama dua minggu itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Menurutnya, pihaknya mendapat maklum mengenai penutupan terbabit dari Pejabat Kesihatan Daerah Kulai.
"Tindakan diambil di bawah Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ekoran kejadian beberapa kes kencing tikus.
"Pihak jabatan menasihatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan rekreasi sekitar premis tersebut sementara tugas pembersihan dilakukan," katanya.
Sebelum ini kawasan rekreasi tersebut pernah ditutup antara Mei dan Jun 2017 akibat virus kencing tikus.
Terdahulu tular di laman sosial mengenai arahan penutupan Taman Eco Rimba Gunung Pulai 1.