Dua lelaki edar dadah ditahan

Iklan
Pelbagai jenis dadah dirampas daripada kedua-dua suspek.

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6,792 dalam serbuan secara berasingan di ibu kota, pada Isnin dan Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu sebuah kereta Perodua Bezza di tepi Jalan Dewan Bahasa, di sini, pada jam 5 pagi, Isnin.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan, kita menemui dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin anggaran berat 658.2 gram," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sulizmie Affendy berkata, hasil soal siasat mendapati suspek terlibat secara langsung dalam kegiatan pengedaran dadah jenis MDMA kepada pengunjung pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

Iklan

"Suspek baharu bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran sejak pertengahan tahun ini.

Sulizmie Affendy berkata, serbuan kedua pula, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 48 tahun di tepi jalan Tun Tan Siew Sin, pada jam 11.50 malam, Selasa.

Iklan

"Hasil pemeriksaan, kita merampas dadah jenis heroin anggaran berat 26.10 gram.

"Kita percaya suspek bergiat aktif dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam skala kecil di Jalan Petaling, di sini," katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah.

"Semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai 20 rekod lampau atas pelbagai kesalahan dadah dan jenayah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 15(1)(A) akta yang sama.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.