KOTA BHARU - Hujan lebat berterusan menyebabkan paip air mentah bersaiz 700 milimeter di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah pecah sekali gus menyebabkan operasi terpaksa dihentikan pada Khamis.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan memaklumkan ia memberikan kesan kepada 13,766 akaun pengguna.
Iklan
Iklan
"Di kawasan tersebut juga berlaku mendapatan serta pergerakan tanah.
"Kita terpaksa hentikan semua operasi di LRA Bukit Remah dan ini akan mengganggu bekalan air kepada pengguna," katanya.
Menurut Jabatan Korporat AKSB, kawasan terlibat ialah sekitar bandar Tanah Merah, Hospital Tanah Merah, Kampung Sat Hulu dan Hilir, Tepi Sungai, Kota Harmoni, Pasir Panji, Kenerak, Bechah Laut, Kelewek, Batu Hitam, Manal, Jalan Jedok, Jalan Wan Ahmad, Banggol Kemunting, Padang Siam, Bukit Gading dan Kenerak.
Turut terlibat pengguna di Gual Ipoh, Kusial, Bukit Mas, Taman Sri Hawa, Taman Kisana, Taman Desa Impian, Taman Desa Fajar, Taman Desa Fatin, Taman Guru, Taman Tanah Merah, Jalan Banggol, Jalan Banggol Jenerih, Taman Ten, Taman Jintan KB, Padang Che Minah, Taman Desa Rahmat, Paloh, Bukit Panau, Bendang Baru dan kawasan sekitar.
AKSB berkata, pihaknya akan menggerakkan semaksimum mungkin lori-lori tangki yang sedia ada untuk penghantaran bekalan air ke kawasan kritikal seperti hospital, klinik kesihatan, pusat dialisis dan lain-lain.
Ujarnya lagi, AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi terkini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau boleh hubungi PINTAS di talian 15777 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.