JELI - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jeli meredah banjir sedalam hampir 0.5 meter menggunakan lori bagi menyelamatkan seorang wanita baru bersalin yang mengalami masalah terlekat uri di Hospital Jeli.
Pegawai Pertahanan Awam Jeli, Leftenan (PA) Mohd Rozani Zainuddin berkata, pihak hospital hendak memindahkan pesakit tersebut ke Hospital Tanah Merah yang memerlukan bantuan APM selepas jalan dinaiki air.
"Kami menerima panggilan kecemasan untuk membantu seorang pesakit wanita berusia 40-an yang baru lepas bersalin.
"Pesakit tersebut diuji dengan urinya terlekat dan perlu mendapatkan rawatan lanjut serta segera di Hospital Tanah Merah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut beliau, jarak yang perlu dilalui ialah 40 kilometer serta kebanyakan jalan dinaiki air dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.
"Alhamdulillah semuanya selamat. Walaupun agak mencabar tetapi kami cuba sedaya upaya memastikan pesakit sampai dengan selamat untuk meneruskan rawatan," katanya.