PETRONAS terus komited bagi menghangatkan perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) yang menjadi kejohanan jelajah berbasikal terbesar dan terulung di rantau Asia.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah (Liza) Abdul Rahman berkata, konglomerat tenaga negara itu akan terus menyokong penganjuran LTdL yang telah memasuki edisi ke-25 tahun ini.
Menurutnya, PETRONAS LTdL bukan sekadar menjadi perlumbaan berbasikal, malahan merupakan agenda nasional yang menggalakkan pelancongan sukan seterusnya dapat memacu ekonomi tempatan.
"PETRONAS LTdL adalah acara sukan yang dekat dengan hati orang ramai. Rakyat Malaysia daripada setiap lapisan masyarakat akan hadir menyaksikan para pelumba berbasikal bersaing di semua laluan peringkat perlumbaan. Ini membuktikan semangat dan keramahan rakyat Malaysia.
"PETRONAS sememangnya menyokong inisiatif bermakna seperti LTdL dan menawarkan pengalaman unik untuk semua orang. Ini memberikan makna sebenar slogan edisi ke-25 iaitu ‘Sports Unite, Cycling Contributes’ yang bertujuan menekankan pentingnya perpaduan melalui sukan berbasikal.
"PETRONAS LTdL ini juga dapat mempamerkan keindahan negara Malaysia dan sekali gus membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa sejajar dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.
PETRONAS yang merupakan antara rakan penaja tradisi LTdL paling lama sejak edisi 1997, banyak menyumbang kepada kejayaan kejohanan itu menerusi penajaan berbentuk wang tunai dan barangan.
Malah, lebih istimewa apabila PETRONAS tampil sebagai penaja utama eksklusif LTdL bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2019 hingga 2021.
Mengulas lanjut, Liza memberitahu, bersandarkan populariti sukan berbasikal di Malaysia dan seluruh dunia, PETRONAS percaya LTdL adalah platform terbaik untuk membina dan mempromosikan jenama syarikat itu baik dalam mahupun di luar negara.
"LTdL cukup unik kerana penganjurannya melibatkan semua kaum di negara ini serta menjadi platform pelaksanaan program-program komuniti di setiap lokasi perlumbaan, sekali gus membantu kami untuk melibatkan diri dengan para penonton.
"Kami juga berasa cukup berbangga apabila dapat menjadi penaja utama acara berprestij ini sejak 24 tahun yang lalu,” ujarnya.
Beliau berkata, PETRONAS yang cukup sinonim dengan sukan permotoran juga komited untuk membantu pembangunan sukan berbasikal di negara ini terutamanya dalam kalangan remaja.
"Kami juga percaya PETRONAS LTdL akan mampu melahirkan pelumba profesional seperti pelumba kelahiran Terengganu, Anuar Manan yang menjadi pelumba pertama dari Malaysia yang memenangi saingan peringkat LTdL pada 2010,” katanya.
Dalam pada itu, Liza memberitahu, PETRONAS menjanjikan aktiviti menarik di lokasi penamat perlumbaan yang pastinya akan mengujakan bukan hanya kepada peminat setia sukan berbasikal, malah juga kepada mereka yang mahu berjinak-jinak dengan sukan tersebut.
"Kami ingin menjemput anda semua untuk singgah ke booth PETRONAS di Langkawi dan merasai sendiri pelbagai aktiviti sempena PETRONAS LTdL selain turut berpeluang memenangi cenderamata khas daripada PETRONAS.
"Kami juga menjangkakan lebih ramai peminat akan hadir ke setiap lokasi perlumbaan dan dalam masa sama dapat mempromosikan PETRONAS apabila LTdL dipancarkan ke kaca televisyen di beberapa buah negara seperti China dan negara-negara Asia Tenggara.
"Selain RTM, stesen televisyen yang berpangkalan di China seperti Hainan TV, Qinghai Satellite TV dan Zhibo TV selain Eurosport 2 dan Eurosport Asia Pacific akan turut sama menjadi penyiar perlumbaan kali ini,” katanya.
Justeru, beliau berkata, PETRONAS mengharapkan agar LTdL akan terus dianjurkan pada masa akan datang dan syarikat itu akan terus menyokong dari segi membawa nilai sinergistik kepada matlamat penajaan siri jelajah berbasikal tersebut.
"Kami berharap ia akan terus maju terutamanya dalam membangunkan juara dunia berbasikal tempatan dan mempromosikan Malaysia sebagai hab sukan dan pelancongan,” jelasnya.