ISKANDAR PUTER - Kerajaan Johor sedang mempertimbangkan cadangan untuk membuka Safari Malam di Zoo Johor, susulan sambutan luar biasa pengunjung ke zoo itu sejak dibuka pada 31 Ogos lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terdapat banyak maklum balas diterima daripada pengunjung Zoo Johor supaya membuka Safari Malam sekali gus menjadi salah satu tarikan pelancongan.
"Bukan masa ini, namun insya-ALLAH sedang diperhalusi kerana kita mahu teliti dahulu sektor keselamatan pengunjung dan haiwan di zoo.
"Peningkatan infrastruktur termasuk pemasangan sistem pencahayaan mesra alam di kawasan zoo yang menyamai suasana waktu malam secara semula jadi tanpa mengganggu habitat haiwan selain laluan masuk termasuk untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas perlu dilihat sebelum menjayakan cadangan ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soalan tambahan Tan Chong (DAP-Bekok) berhubung sambutan pengunjung Zoo Johor sejak ia dibuka semula.
Zoo Johor yang berusia 96 tahun dan tertua di Malaysia ditutup sejak 2020 sebelum dibuka semula pada 31 Ogos lalu selepas menjalani beberapa kerja naik taraf.
Zoo berkenaan yang berkeluasan lebih 12 hektar itu mampu menampung kehadiran sehingga 5,000 pengunjung dalam satu masa bagi melihat secara dekat lebih 100 spesies haiwan yang ada.
Mengulas lanjut Onn Hafiz berkata, Zoo Johor merekodkan jumlah pengunjung seramai 500,000 sejak ia dibuka semula pada 31 Ogos lalu.
Katanya, pencapaian itu amat membanggakan memandangkan produk pelancongan itu yang ditutup hampir empat tahun bagi tujuan penambahbaikan mendapat sambutan luar biasa.
"Zoo Johor dibuka dengan kerjasama banyak pihak termasuk tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang turut menyumbang dana RM9 juta bagi membuka semula Zoo Johor.
"Tahun depan dianggarkan sejuta pengunjung akan melawat Zoo Johor dengan hasil disasar sebanyak RM6 juta, susulan sambutan hebat pengunjung.
"Oleh itu, Zoo Johor dijangka mampu beroperasi dengan hasil pendapatan sendiri dengan sambutan hangat ini," katanya.