Mohd Salim tak kecil hati rayuan penggantungan keahlian UMNO belum diterima

Iklan
Mohd Salim

SEREMBAN - Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif tidak berkecil hati apabila rayuan penggantungan keahliannya dalam UMNO masih belum diterima sehingga kini.

Beliau akur dengan keputusan pimpinan parti dan menegaskan yang kesetiaannya terhadap parti itu tidak pernah berubah sehingga kini.

Iklan
Iklan

"Tak tahulah sama ada rayuan saya akan diterima atau tidak dan saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menilai semula tindakan (penggantungan) itu terhadap saya.

"Kalau inilah politik, saya terima hakikatnya. Saya serahkan kepada ALLAH yang maha berkuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, walaupun kini digantung, tidak menjadi wakil rakyat dan tidak mempunyai sebarang jawatan, beliau tetap meneruskan kerja-kerja kemasyarakatannya.

Pada masa sama jelasnya, sentiasa menyokong rakan-rakan pemimpin UMNO terutama di kawasan Jempol.

Iklan

"Walaupun keahlian saya digantung, saya tetap menyokong rakan-rakan pimpinan dalam UMNO terutama di kawasan Jempol dan mereka juga menghargai saya sebagai bekas Ahli Parlimen Jempol dan Ketua Bahagian Jempol.

"Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana beliau telah diterima semula ke dalam parti," katanya.

Mohd Salim dikenakan penggantungan selama enam tahun sebagai ahli UMNO bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin.

Bagaimanapun pada Isnin lalu Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin berkuat kuasa serta-merta.