Konflik 20 tahun selesai, 97 petani setinggan terima ex gratia

Iklan
Sze Yee (tengah) bergambar bersama para petani yang hadir pada Majlis Pengesahan dan Penyerahan ex gratia Projek Silver Valley Technology Park di Hotel Casuarina@Meru pada Rabu. Foto Bernama

IPOH - Konflik 20 tahun kawasan tanah setinggan melibatkan 97 petani di Kanthan, Chemor berjaya diselesaikan menerusi penyerahan ex gratia di sini pada Rabu.

Penyelesaian dicapai hasil perbincangan strategik kerajaan negeri melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) iaitu Perak Corporation Berhad dengan syarikat pemaju, Advancecon Holdings Berhad.

Iklan
Iklan

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, semua pembayaran dijelaskan oleh syarikat pemaju sebagai tanda ihsan bagi membolehkan kawasan berkeluasan lebih 330 hektar itu dibangunkan.

Sze Yee (kanan) menyantuni penerima ex gratia membabitkan 97 petani.

Iklan

"Isu ini (tanah setinggan) sebenarnya telah menjadi satu masalah kepada kerajaan negeri.

"Syukurlah kita dapat mencapai kata sepakat yang memuaskan hati semua pihak," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan simbolik penyerahan ex gratia kepada 20 penerima di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Advancecon Holdings Berhad, Tan Chee Keong.

Tanah dimiliki PKNPk itu dirancang untuk pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi perindustrian bertaraf antarabangsa.

Chee Keong menyerahkan bayaran ex gratia kepada seorang petani setinggan.

Isu kependudukan tanah di Kanthan, Chemor mendapat perhatian umum selepas timbul dakwaan berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa terhadap petani yang menjalankan aktiviti pertanian di situ.

Mengulas lanjut, Sze Yee berkata, langkah yang diambil menerusi penyerahan ex gratia itu bukanlah satu ketetapan yang perlu dilaksanakan dalam menangani aktiviti pertanian haram di tanah kerajaan.

"Kita tidak boleh kata sebab kita bayar di sini, maka perkara sama boleh berlaku di kawasan lain.

"Perkara itu perlu dibincangkan antara pihak yang menduduki dengan tuan punya tanah," katanya.