Lapan warga Myanmar tak mengaku salah ceroboh perairan negara, guna bubu naga

Iklan
Lapan nelayan Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor pada Khamis atas pertuduhan menceroboh perairan negara dan menggunakan peralatan bubu naga untuk menangkap ikan.

KUALA SELANGOR - Seramai lapan nelayan warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan menceroboh perairan negara dan menggunakan peralatan bubu naga untuk menangkap ikan.

Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh terdiri daripada empat tekong bot iaitu U Thay, 39, Maung Maung Soe, 37, Maung Myint Than, 34, dan San Win, 32.

Iklan
Iklan

Turut mengaku tidak bersalah empat lagi awak-awak iaitu Sin Hla Thein, 41, Zaw Myint Oo, 36, Aung Naing Kyaw, 31, dan Tun Hlaing, 26.

Semua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah, Faridah Zubir.

Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, semua lelaki tersebut didakwa menggunakan empat vesel penangkapan ikan asing tanpa nombor telah menceroboh perairan negara pada jarak 1.9 batu nautika dari Bagan Sungai Burong, Sungai Besar jam 9.35 pagi, 31 Julai lalu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta bagi setiap tekong atau nakhoda dan RM600,000 bagi setiap kru.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua pula, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan pada masa, tarikh dan tempat sama dengan menangkap ikan menggunakan bubu naga iaitu suatu cara menangkap ikan yang dilarang Jabatan Perikanan Malaysia.

Mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Jadual 5, Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) (Pindaan 2024) yang diperihalkan di bawah peraturan 2 kepada Jadual Peraturan sama dibaca bersama perenggan 26(1)(a) Akta Perikanan 1985 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta setiap tekong dan RM600,000 bagi kru.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menetapkan 24 Disember depan sebagai sebutan semula kes itu dan pelantikan peguam.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Muhammad Hafiz Mohd Amin dan Herlina Abd Ghani, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.