ISKANDAR PUTERI - Kawasan rekreasi terkenal Air Terjun Kota Tinggi masih ditutup sejak 2019 kepada orang ramai atas faktor keselamatan seperti kepala air, monsun tengkujuh dan timur laut.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembukaan semula Air Terjun Kota Tinggi memerlukan kajian mendalam dengan mengambil kira tragedi kepala air yang pernah berlaku di seluruh negara, sebelum ini.
"Kita perlu mengambil pengajaran daripada kejadian kepala air yang mengorbankan nyawa sebelum ini. Pada tahun 2021, berlaku kejadian kepala air dan tanah runtuh di Gunung Jerai.
"Terbaharu pada 16 November lepas, kejadian kepala air punca di Sungai Jahang, dekat Gopeng, Perak menyebabkan tiga nyawa terkorban," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, pada Khamis.
Onn Hafiz (BN-Machap) sebelum itu menjawab soalan tambahan dikemukakan Muszaide Makmor (BN- Sedili) mengenai Air Terjun Kota Tinggi yang masih ditutup sehingga kini.
Beliau memberitahu kerosakan berlaku terhadap infrastruktur di Air Terjun Kota Tinggi susulan bencana berkenaan yang berlaku pada 2019, 2022 dan tahun lalu itu.
"Kita sedia maklum pada 2019, 2022 dan 2023 berlaku banjir besar di kawasan itu yang menyebabkan kerosakan infrastruktur bernilai RM3.5 juta yang sudah dinaik taraf namun musnah disebabkan bencana banjir dan kepala air.
"Kerajaan Johor sedang melaksanakan kajian teliti bagi memastikan infrastruktur dapat dinaik taraf dan menyelesaikan isu banjir dan kepala air. Itu yang kita sedang laksanakan.
"Atas faktor keselamatan, kita terpaksa buat kajian lebih terperinci dan mengambil tindakan atas kajian berkenaan sebelum dapat buka Air Terjun Kota Tinggi semula," ujarnya.
Pada Mei lalu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, air Terjun Kota Tinggi ditutup sementara waktu sejak 2019 selepas bencana banjir melanda atas sebab-sebab keselamatan awam.
Bagaimanapun, penutupan Air Terjun Kota Tinggi sejak 2019 juga menjadi punca salah faham ramai kononnya berlaku aktiviti pembalakan di situ.