[VIDEO] Tiada keperluan bahas isu pembelian aset tentera secara umum - Anwar

Iklan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk Jawatankuasa Parlimen membahaskan isu pembelian senjata dan keistimewaan helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malah beliau berkata, tiada satu negara di dunia yang membincangkan soal keperluan teknikal keselamatan secara umum.

Iklan
Iklan

"Tidak boleh, saya tidak setuju kalau isu-isu pembelian senjata (dibincangkan umum). Ini pun kita telah umumkan setakat yang boleh diumumkan, tetapi apakah keistimewaan setiap helikopter untuk TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia), TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), saya tidak fikir boleh dibahaskan oleh Jawatankuasa Parlimen.

"Itu pandangan saya, tetapi kalau perlu, boleh minta Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) atau Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) teliti semula apa yang boleh disampaikan.

Iklan

"Saya tidak fikir wajar untuk keselamatan negara, kita bincang secara teliti tentang spesifikasi, keperluan dan kekuatan masing-masing (berkenaan) kelengkapan tentera kita," katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Anwar ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) sama ada helikopter yang dibekalkan kepada tentera sudah menjalani ujian dan memenuhi spesifikasi ketenteraan.

Iklan

Sementara itu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan, kerajaan menggunakan sistem pajakan dalam perolehan helikopter untuk kegunaan agensi kerajaan dan pasukan keselamatan kerana kaedah itu lebih telus selain dapat mengelakkan beban kewangan kepada negara.

Justeru, beliau menjelaskan, secara dasarnya kerajaan turut bersetuju melaksanakan kaedah berkenaan bagi aset-aset ketenteraan lain.

"Setakat ini secara dasarnya kerajaan lebih bersetuju melaksanakan kaedah ini supaya tidak memberi bebanan kewangan negara walaupun ada sesetengah kita beli dengan murah, tetapi kos penyelenggaraan lebih mahal daripada (harga) pesawat pada peringkat awal.

"Itu sebab mereka dikaji semula dan dianggap sebagai pajakan MRO (Maintenance, Repairs and Operations) kerana mengurangkan beban dengan syarat, latihan dan pemindahan teknologi di sini (Malaysia)," katanya.