RADIO Televisyen Malaysia (RTM) berdepan kesukaran untuk menyiarkan perlawanan Piala ASEAN 2024 membabitkan pasukan Harimau Malaya yang akan berlangsung bulan depan.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, pemegang hak siaran Piala ASEAN telah meletakkan harga terlalu tinggi melebihi RM13 juta selain turut mengenakan syarat perlu membeli pakej siaran sukan yang tidak diperlukan oleh RTM.
"Pemegang hak siaran AFF mengenakan syarat baharu iaitu jika RTM mahu siarkan AFF ASEAN, RTM mesti membeli pakej yang mengandungi empat sukan lain yang tidak diperlukan oleh RTM.
"Harga yang ditawarkan oleh pemegang hak melebihi RM13 juta. RTM telah berunding berkali-kali.
"Mereka menurunkan sedikit harga tapi masih jutaan ringgit juga dan syaratnya, RTM mesti membeli semua acara sukan dan tidak secara 'ala-carte'," katanya dalam satu hantaran di akaun X miliknya.
Menurutnya, RTM cuba sedaya upaya untuk menyiarkan pelbagai acara sukan kepada penonton secara percuma, namun perlu berhemah dalam berbelanja kerana wang tersebut adalah milik rakyat.
"Kita hendaklah berhemah dalam berbelanja. Rakyat masih boleh menonton AFF, tetapi di Astro.
"Kami cuba sedaya upaya untuk membawakan pelbagai acara sukan kepada penonton secara percuma tetapi, kami tak sanggup membayar harga yang teramat tinggi dan ini semua adalah wang rakyat," katanya.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka tirai saingan menentang Kemboja pada 8 Disember di Phnom Penh sebelum menjadi tuan rumah menentang Timor Leste tiga hari kemudian.
Skuad kendalian Pau Marti Vicente itu seterusnya akan berdepan Thailand pada 14 Disember di Bangkok dan mengakhiri saingan kumpulan melayan kunjungan Singapura pada 20 Disember.