JASIN - Hasrat sepasang suami isteri warga emas mahu menziarahi anaknya di Taman Merlimau Perdana dengan menaiki teksi tidak kesampaian apabila rentung selepas kenderaan dinaiki terbakar di Kampung Lanchang, Jalan Jasin-Merlimau di sini, pada Khamis.
Kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu turut mengorbankan pemandu teksi terbabit berusia 71 tahun.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa Husali Umar, 84, Mastura Said, 61 dan pemandu kenderaan S Subbramaniam, dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Merlimau.
Menurutnya, setiba di lokasi, kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok jambatan sebelum terbakar.
"Akibat perlanggaran tersebut kenderaan yang dinaiki pasangan suami isteri itu menyebabkan kesemua mangsa maut di tempat kejadian akibat terbakar seluruh badan.
"Siasatan awal mendapati kebakaran kenderaan dipercayai berpunca dari kebocoran gas NGV yang dipasang pada kenderaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Tambahnya, siasatan lanjut juga mendapati punca kemalangan kerana gagal mengawal kenderaan dan mayat ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 APJ 1987," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar, berkata, 11 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
"Setiba di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati sebuah kereta Proton Iswara terbakar," katanya.