KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Dua bekas pekerja syarikat pengendali pengangkutan awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM500,000.
Bekas kerani, Mohd Hafiz Azizi, 39, dan bekas pegawai kewangan syarikat itu, Mohammad Shahrul Nizam Azman, 34, membuat pengakuan terbabit selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.
Bagi sembilan pertuduhan, Mohd Hafiz yang kini bekerja sebagai penghantar barang didakwa telah memperoleh wang berjumlah RM565,359 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, ke beberapa bank milik syarikat tertuduh iaitu Damai Jaya Enterprise, Mekar Budi Enterprise dan Usaha Binaan Resources.
Kesalahan didakwa dilakukan di RHB Bank Berhad Cawangan Bangsar dan CIMB Bank Cawangan Wisma Koponas Jalan Tun Sambanthan, di sini antara 17 Januari 2020 dan 7 Julai 2023.
Sementara itu, Mohammad Shahrul didakwa atas lapan pertuduhan memperoleh wang berjumlah RM580,916 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di bank syarikat milik tertuduh iaitu Restu Ikhlas Services, Cekal Bina Electrical dan Tuah Sejati Enterprise.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bank Islam dan RHB Bank Cawangan KL Sentral, antara 8 Januari 2020 dan 7 Julai 2023 lalu.
Sementara itu, Mohammad Shahrul yang kini bekerja sebagai penghantar barang, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM233,270.
Wang itu dipindahkan daripada akaun bank syarikat Restu Ikhlas Services, Cekal Bina Electrical dan Tuah Sejati Enterprise bank ke bank syarikat milik tertuduh, Shahsyaz Enterprise.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Wisma Koponas Bank Islam Jalan Tun Sambanthan dan RHB Bank Cawangan KL Sentral di antara 18 April 2021 dan 8 Ogos 2023.
Semua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Perenggan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Ahmad Ishrakh Saad mewakili Mohd Hafiz sementara peguam, Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Mohammad Shahrul merayu kadar itu dikurangkan kerana kedua-dua tertuduh perlu menanggung keluarga setelah dibuang kerja daripada Prasarana.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrul membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 10 Januari tahun depan.