LIPIS - Lemang ubi kayu busuk antara bekalan makanan yang disediakan masyarakat Orang Asli minoriti etnik Semai Ulu Jelai sebagai persediaan awal berdepan musim tengkujuh.
Antaranya, Wak Lin, 42, di Kampung Paroh, Pos Lenjang di sini memberitahu, aktiviti mencabut ubi kayu giat dilakukan untuk menyediakan makanan tersebut.
Menurutnya, ketika musim tengkujuh, ubi kayu dan ubi gadong antara tanaman liar yang tidak asing lagi bagi mereka.
"Selalunya ketika musim tengkujuh makanan kami sekeluarga ialah lemang ubi kayu busuk memandangkan tidak mampu keluar bekerja kerana hujan.
"Makanan warisan orang-orang tua ini disebut ubi kayu busuk kerana rasanya seakan-akan masam selepas dimasak di dalam buluh lemang," katanya lagi.
Ujarnya, sebelum dimasak, ubi kayu itu direndam di dalam air sungai selama empat hari dan kemudiannya diangkat serta dibersihkan lalu disagat menjadi tepung kasar dengan menggunakan peralatan khas.
Jelasnya, ubi yang disagat dimasukkan ke dalam buluh lemang lalu dibakar antara 40 hingga 50 minit tanpa dibubuh air atau santan, dimasak di atas bara api yang benar-benar panas.
"Ubi masam ini rasanya lebih enak dimakan dengan ikan liar sungai Ulu Jelai atau ikan masin dan boleh bertahan sehingga seminggu," tambah wanita tersebut.
Katanya, menu itu juga menjadi juadah tengah hari dan malam malahan tetamu yang bertandang ke rumah ketika musim hujan.
Dalam pada itu, dia memberitahu Orang Asli etnik Semai di situ turut membuat persediaan makanan termasuk padi huma yang dituai sebagai persediaan menghadapi tengkujuh.