SYARIKAT pemaju hartanah terkemuka, Glomac Berhad (Glomac) melancarkan projek perumahan Serai@SCBR di Bandar Saujana Utama yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM350 juta dengan keluasan 485.6 hektar.
Ketua Pegawai Operasi Glomac, Zulkifly Garib berkata, projek yang bakal dibangunkan dalam empat fasa itu menawarkan sejumlah 374 rumah teres dua tingkat, dua plot komersial dan pangsapuri di bawah skim perumahan mampu milik.
Menurutnya, Serai One diperkenalkan sebagai permulaan pada fasa pertama yang mempunyai 112 unit dengan keluasan bermula dari 130 hingga 170 meter persegi.
"Harga jualan pada fasa ini bermula dari RM654,220 hingga RM911,430 yang mempunyai GDV sebanyak RM78.6 juta.
"Kami telah membuka Serai One untuk pratonton sejak empat bulan lalu dan sambutannya amat menggalakkan.
Hadir sama, Ketua Jualan dan Pemasaran Glomac, Veejaeswaran Beraya serta Pengurus Jualan dan Pemasaran Glomac, Eliza Jamaludin.
Mengulas lanjut, menurut Zulkifly, fasa kedua projek iaitu Serai Two mempunyai 96 unit dan bakal dibuka untuk jualan sebaik sahaja Serai One terjual sepenuhnya yang dijangka dapat dicapai dalam beberapa bulan akan datang.
Beliau berkata, lebih 30 peratus daripada kawasan projek dikhususkan untuk kehijauan dengan menampilkan taman seluas 2.6 hektar, kolam tadahan 1.0 hektar, trek joging, kawasan refleksologi dan kemudahan rekreasi lain.
"Kami telah merancang semula projek untuk memastikan ia sejajar dengan aliran pasaran semasa. Serai @ SBCR mencerminkan usaha ini dan kami optimis dengan kejayaan berterusan.
"Terletak di perbandaran Bandar Saujana Utama, Serai menawarkan akses mudah ke sekolah, pasar raya, pusat perubatan dan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Lembah Klang (NKVE) serta Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).
"Ia juga terletak berhampiran dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam dan Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM," ujarnya.
Tambah Zulkifly, keseluruhan projek dan pelan induk merangkumi empat fasa tersebut dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 10 tahun akan datang.