Isu Pulau Pinang milik Kedah: Sanusi diingatkan henti kenyataan berbaur hasutan

Iklan
Kon Yeow

GEORGE TOWN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dengan mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Menteri Besar Kedah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah mengulangi kenyataan berbaur hasutan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan mengikut Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan tertulis Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Menteri Besar negeri jiran kita ini dilihat terus menerus mengulangi kenyataan yang berunsur hasutan dan tidak menghormati kedaulatan Pulau Pinang dengan menyatakan Pulau Pinang milik Kedah.

Iklan

"Saya ingin menyatakan dengan sekeras-kerasnya bagi pihak kerajaan dan rakyat Pulau Pinang, bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang berdaulat.

"Jadi kita harap Menteri Besar Kedah dapat menghormati hak Pulau Pinang dan tidak mengulangi kenyataan berbaur hasutan tersebut,” katanya sebelum sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang,pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu Kon Yeow (PH- Padang Kota) turut mengulangi kenyataan bahawa sebarang tuntutan yang mahu dikemukakan oleh Menteri Besar Kedah harus dibawa ke mahkamah.

"Jika mahu membuat tuntutan rasmi, saya sudah banyak kali nyatakan supaya bawa isu ini ke mahkamah.

"Beliau tidak perlu membuang masa dengan mengulangi dakwaan tidak berasas tersebut di luar mahkamah," katanya lagi.

Beliau turut menyeru kepada semua wakil rakyat di negeri ini, termasuk pemimpin pembangkang supaya bersama-sama dengan kerajaan negeri dalam mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang.

"Saya harap semua Ahli Dewan bersama-sama kita dalam isu ini termasuklah ADUN pembangkang.

"Adakah ADUN pembangkang memihak kepada Pulau Pinang atau bersama dengan pemimpin parti,"katanya lagi.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pasukan pengkaji yang dilantik oleh kerajaan negeri untuk menyelidik dokumen berkaitan hubungan Kedah dan Pulau Pinang akan membentangkan hasil kajian pada bulan depan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasil kajian berkenaan akan dijadikan panduan untuk kerajaan negeri meneruskan tindakan selanjutnya dalam menilai semula kadar pajakan lebih tinggi terhadap Pulau Pinang.

Menurutnya, pasukan penyelidik membabitkan pakar perundangan dan sejarawan itu meneliti lebih 20,000 dokumen berkaitan daripada beberapa negara antaranya British Library.