GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Mohd Yusni Mat Piah memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan antara pemimpin terkaya di dunia.
Mohd Yusni (PN-Penaga) membuat permohonan maaf itu selepas Lee Boon Heng (PH-Kebun Bunga) membangkitkan Peraturan Mesyuarat di DUN Pulau Pinang supaya ADUN Penaga menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan ketika perbahasan pada Selasa lalu yang menggunakan sumber meragui bagi kedudukan kekayaan yang dimiliki oleh Perdana Menteri.
Mohd Yusni sebelum ini dilaporkan menuduh Perdana Menteri sebagai pemimpin ke-17 terkaya di dunia dengan memetik sumber tidak sahih iaitu 'Love Money'.
Beliau mengakui ranking yang menjadi asas dakwaannya mungkin tidak boleh dipercayai, dan memohon maaf selepas ditegur oleh Speaker DUN, Datuk Seri Law Choo Kiang.
"Saya menarik balik ucapan saya berhubung Anwar, mengenai kedudukan pemimpin dunia dan memohon maaf kepada semua ahli.
"Bagaimanapun bahagian tentang pengisytiharan harta dan aset yang dimiliki adalah benar," katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Khamis.
Terdahulu, Boon Heng berkata, tindakan Perdana Menteri untuk isytihar harta adalah tindakan yang terpuji dan bukan dijadikan bahan polemik politik di Dewan yang mulia.
Beliau mendakwa, cara penyampaian ADUN Penaga yang membawa perkara yang sumbernya meragukan juga telah mengelirukan Dewan.