SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus segera melaksanakan dasar rangsangan fiskal melalui projek-projek infrastruktur bagi merangsang ekonomi melalui penciptaan pekerjaan yang bergaji tinggi dan menggalakkan perbelanjaan domestik.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, prestasi pengurusan ekonomi negara di bawah kerajaan PH ternyata makin meruncing apabila kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi suku keempat tahun 2019 iaitu 3.6 peratus, menjadikan pertumbuhan KDNK untuk keseluruhan tahun 2019 ialah 4.3 peratus.
"Prestasi ini adalah jauh di bawah andaian asal Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebanyak 4.9 peratus semasa umum Bajet 2019 dan juga di bawah ramalan 4.7 peratus semasa beliau umum Bajet 2020. Juga terburuk dalam tempoh sedekad,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau semalam.
Asyraf Wajdi berkata, Guan Eng juga tidak seharusnya bergantung kepada dasar monetari sahaja untuk merangsang ekonomi kerana Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah diturunkan dua kali sejak PH mengambil alih Putrajaya.
"Malah strategi menyalahkan segala-galanya kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu juga harus segera dihentikan agar fokus lebih tersasar untuk memperbetulkan strategi pengurusan ekonomi PH yang setakat ini ternyata gagal,” katanya.
Justeru, Asyraf menggariskan lima kesan besar daripada pengumuman terbaharu BNM termasuklah penurunan keyakinan daripada pengguna dan pelabur pada ekonomi Malaysia tahun 2020.
"Kedua, pengguna dan pelabur akan mengambil sikap berhati-hati untuk berbelanja dan pelabur tidak berminat untuk melabur di Malaysia.
"Ketiga, pengurangan permintaan domestik disebabkan pengguna berjaga-jaga dengan perbelanjaan mereka akan melembapkan lagi ekonomi negara pada tahun 2020 di mana saiz pekerja mungkin dikurangkan disebabkan pihak swasta ingin mengurangkan bebanan kos operasi. Kitaran negatif akan menyebabkan Malaysia akan terkesan teruk sekiranya tiada rangsangan ekonomi dilaksanakan.
"Keempat, penurunan pelaburan bermakna tiada penciptaan pekerjaan baharu dan tiada pelaksanaan teknologi baharu di Malaysia sekali gus tidak meningkatkan produktiviti negara,” katanya.
Katanya, cabaran wabak koronavirus (Covid-19) akan memberi kesan pada sektor pelancongan pada suku pertama tahun 2020 di mana pada tahun 2019 dalam tempoh yang sama menyumbang kutipan mencecah RM21.44 bilion apabila China dan Singapura menyumbang masing-masing hampir RM3.7 bilion dan RM6.17 bilion.
"Pengurangan pelancong dari China dan Singapura sudah pasti berlaku seperti yang dijangka oleh BNM,” katanya.