KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan pertelingkahan antara Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dan Chong Zhemin (PH-Kampar) berhubung penjelasan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, selesai.
Malah Johari menjelaskan, beliau kekal dengan keputusan bahawa usul yang dibawa Presiden MCA itu tidak berniat jahat apabila mempersoalkan data dikemukakan Rafizi ketika sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Beliau berkata, usul Zhemin terhadap Ka Siong juga merupakan dua perkara berbeza dan kedua-duanya mempunyai fakta yang betul.
"Jadi berdasarkan penelitian saya, keseluruhan kenyataan (Ahli Parlimen) Ayer Hitam dan Pandan telah merujuk kepada dua perkara berlainan dan keduanya adalah fakta yang betul.
"Ayer Hitam merujuk kepada kos pembangunan PADU (Pangkalan Data Utama) secara keseluruhan untuk tahun 2023 hingga 2025 manakala (Ahli Parlimen) Pandan merujuk kepada kos pembangunan PADU hingga September 2024,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, usul merujuk Ka Siong yang juga bekas Menteri Pengangkutan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana membuat sangkaan jahat terhadap Rafizi, ditolak Johari.
Rentetan itu Zhemin mendakwa, penolakan disebabkan kenyataan yang dilontarkan Ka Siong tidak memenuhi salah satu daripada tiga elemen Peraturan Mesyuarat 36 (12) iaitu ahli Parlimen yang membuat kenyataan ketika itu, perlu mengetahui kenyataan tersebut tidak tepat.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Johari memaklumkan, tidak wujud prima facie terhadap perkara tersebut yang dibawa di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (6) mahupun 36 (12).
"Saya berpandangan perkara ini tak perlu dibangkitkan selepas ini kerana saya telah membuat keputusan melalui surat yang telah diutus kepada Kampar.
"Saya anggap kes selesai," tegasnya.
Peraturan Mesyuarat 36 (12) adalah merujuk kepada perbuatan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan yang disifatkan menghina Majlis.