Sanusi pertikai Persekutuan tidak endah titah Sultan Kedah

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan permohonan Kedah sebanyak RM200 juta bagi mengekalkan kawasan sawah padi di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana ia merupakan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sikap tidak endah kerajaan Persekutuan terhadap permohonan ini amat dikesali.

"Pada 30 Jun lalu, di hadapan Perdana Menteri di Istana Anak Bukit, Sultan Kedah menitahkan kepada kerajaan Persekutuan supaya meluluskan permintaan kerajaan negeri untuk mendapatkan bayaran insentif fiskal sebanyak RM200 juta yang dipohon beberapa kali daripada kerajaan Persekutuan sebelum ini,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, insentif tersebut adalah sebagai timba balik dengan persetujuan kerajaan negeri mengekalkan kawasan 130,000 hektar dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan di luar MADA sebagai kawasan tanaman padi, yang membekalkan 43 peratus bekalan beras negara.

"Kita minta RM200 juta, bukan besar pun nilainya kepada Persekutuan tetapi jumlah itu besar kepada kita.

Iklan

"Kalau kita tak tanam padi di Kedah, kena import beras ada kos untuk mengimport. Mungkin lebih daripada apa yang kita mohon (RM200 juta). Jadi kita mintalah bayaran khas pengekalan itu, Tuanku Sultan bertitah berhadapan dengan Perdana Menteri pada ketika itu,” jelasnya.

Pihaknya kesal kerana Anwar tidak melaksanakan titah Sultan Kedah sebagaimana beliau melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Ketika bentuk Kerajaan Perpaduan, dia (Anwar) guna titah Yang di-Pertuan Agong untuk tubuhkan kerajaan. Apabila Sultan Kedah bertitah tak ambil peduli pula. Kedua-duanya adalah titah juga dan sepatutnya boleh dipakai,” katanya.

Pada 30 Jun lalu, Sultan Sallehuddin meminta kerajaan Persekutuan meluluskan permintaan Kedah bagi mendapatkan bayaran insentif fiskal berjumlah RM200 juta yang dipohon sebagai timbal balik mengekalkan tanah sawah untuk manfaat rakyat negara ini.

Baginda menjelaskan, Kedah kehilangan potensi menjana hasil lebih tinggi apabila pembangunan tidak dapat dilaksanakan di kawasan pertanian yang luas.

Sultan Sallehuddin bertitah, insentif fiskal berjumlah RM200 juta itu dilihat dapat mengimbangi hasil dan perbelanjaan Kedah pada masa hadapan terutama bagi membangunkan bidang sosio ekonomi.