SUBANG JAYA - Tindakan pemandu memberhentikan keretanya di tengah jalan selepas berang dihon seorang wanita akibat memandu secara melulu di Jalan Harmoni di sini mengundang padah apabila aksinya itu tular di media sosial pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku apabila pemandu wanita memandu di lorong tengah Jalan Harmoni dari arah Lebuhraya Damansara Puchong menghala ke One City Mall.
"Setibanya di lokasi berkenaan, sebuah kereta jenis Perodua Myvi didakwa telah memotong dari lorong kiri ke kanan secara melulu dan berbahaya mengakibatkan pemandu wanita terbabit membunyikan hon.
"Tindakan pemandu Myvi berkenaan hampir mengakibatkan kemalangan sebelum individu itu kemudian bertindak memberhentikan kenderaannya di tengah jalan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, wanita itu kemudian mengubah haluan ke lorong kanan sebelum sekali lagi cuba dihalang pemandu Myvi.
"Kejadian itu berakhir apabila pemandu Myvi itu meneruskan perjalanannya menuju ke arah USJ.
"Kejadian itu berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka kereta wanita terbabit sebelum didapati tular di media sosial," katanya.
Menurutnya, pemandu Myvi terlibat yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun telah tampil di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk dirakam keterangan.
"Polis meminta pemilik rakaman video ini supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd Hamdan Jeramatin di talian 0194642222.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 16(1) LN 166/59 Halangan Lalu Lintas," katanya.