216 aduan gajah diterima di Johor setakat ini - Exco

Iklan
Tian Soon ketika ucapan penggulungan pada Persidangan Ketiga DUN Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 216 aduan mengenai gajah diterima Jawatankuasa 'Task Force' Konflik Hidupan Liar sepanjang tempoh 10 bulan, tahun ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, daerah Kluang merekodkan aduan tertinggi sebanyak 94 kes diikuti Kota Tinggi (56), Mersing (45), Segamat (15) dan Batu Pahat (6).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut ditubuhkan bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi mengurangkan isu gangguan gajah liar menerusi strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

"Antara tindakan yang sedang dan telah dilaksanakan adalah seperti menetapkan operasi translokasi bagi tahun ini sebanyak 10 ekor bagi gajah yang terkeluar dari kumpulan di kawasan-kawasan hotspot.

Iklan

"Selain itu, perolehan lima kolar satelit dan pemasangan kolar satelit bagi memantau pergerakan gajah di daerah seperti Kluang, Kota Tinggi dan Mersing," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

Iklan

Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, pembangunan halangan fizikal sepanjang 16 kilometer di sempadan Hutan Simpan Panti dan Santuari Gajah Johor (JES) akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, ia bagi melindungi dan mengurangkan konflik hidupan liar di kawasan kampung khususnya di daerah terbabit.

"Selain itu, Akaun Amanah Gajah turut diaktifkan supaya projek pembangunan Food Bank Gajah dapat dibangunkan dengan dana yang mencukupi di samping dapat dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan badan-badan korporat dan agensi bukan kerajaan.

"Sebanyak 21 lokasi pembinaan Food Bank telah dicadangkan di sepanjang jajaran koridor gajah yang berhampiran dengan ladang dan hutan. Kerajaan negeri berharap dan menggalakkan agar ladang-ladang yang bersempadan dengan jajaran koridor gajah dapat turut serta dalam usaha ini," ujarnya.