Bomba pindah wanita koma hampir dua bulan ke PPS

Iklan
Bomba membantu memindahkan warga emas dan wanita koma bersama katil menaiki jentera bomba ke PPS di Masjid Hadhari, Jertih di Besut.

BESUT - Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang mangsa banjir wanita yang koma untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Hadhari, Jertih di sini pada Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.15 pagi untuk membawa mangsa berusia 52 tahun itu ke pusat pemindahan.

Iklan
Iklan

"Seramai tiga anggota bomba bergegas ke lokasi rumah mangsa yang dinaiki air di Jalan Tandak dekat Kampung Chenerong, di sini.

"Pihak bomba difahamkan wanita berkenaan koma sejak hampir dua bulan lalu.

Iklan

"Operasi menyelamat mangsa bersama ahli keluarga termasuk seorang lagi wanita warga emas selesai dalam tempoh kira-kira setengah jam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Khamis.

Seramai empat warga emas yang terjejas banjir di Kampung Tandak, Jertih di Besut dipindahkan ke PPS di Masjid Hadhari.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya turut membantu menyelamatkan empat warga emas dari kampung sama yang kediaman mereka turut dinaiki air.

Iklan

Katanya, usaha menyelamat mangsa banjir kali ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama daripada penduduk setempat.

Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), jumlah mangsa banjir di Terengganu pada Khamis terus menunjukkan peningkatan.

Sehingga jam 4 petang tadi, seramai 14,111 mangsa banjir dipindahkan ke 190 PPS melibatkan tujuh buah daerah iaitu Kemaman, Dungun, Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.