JITRA - Penduduk di beberapa daerah di Kedah yang terjejas banjir dinasihatkan berpindah ke tempat lebih selamat berikutan paras air dijangka meningkat menjelang malam ini dan esok.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, sejak semalam pihaknya menerima panggilan daripada mangsa dan orang ramai yang meminta bantuan untuk memindahkan mereka ke tempat selamat.
"Pagi ini, kami terima maklumat ada beberapa mangsa banjir di Kampung Paya Tok Kiong yang perlu diselamatkan kerana rumah mereka telah dinaiki air lebih 1.2 meter. Seramai 12 pegawai dan anggota telah bergegas ke lokasi kejadian bersama dua bot JBPM.
"Air mula naik sekitar jam 5 pagi tadi, dan 16 mangsa yang melibatkan lima rumah itu minta untuk dipindahkan kerana jalan telah terputus selepas air naik dengan cepat dan deras," katanya kepada pemberita di sini.
Pada masa sama, Ahmad Aminuddin menasihati orang ramai terutama yang menaiki kenderaan kecil untuk tidak membahayakan diri dan keluarga meredah banjir kerana bimbang dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, banjir yang melanda negeri itu dijangka merebak ke beberapa kawasan lain dalam tempoh terdekat berikutan limpahan air dari sungai dan empangan."Walaupun hujan dah berhenti tapi hujan berlarutan sepanjang dua hari dua malam...berlaku limpahan air di empangan dan sungai...air itu akan turun di bawah ini (kawasan rendah) pula,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
Beliau berkata, semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) telah diminta bersedia bagi menguruskan bencana banjir di daerah masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu turut mengingatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko berlaku banjir untuk berhati-hati dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarahkan berbuat demikian.
Seorang penduduk Kampung Paya Tok Kiong, Juzainirisha Junaidi, 25, berkata, dia hanya menyedari air masuk ke dalam rumah selepas dimaklumkan oleh bapanya yang tinggal tidak jauh dari kawasan berkenaan.
"Saya, suami dan dua anak berusia dua dan tujuh tahun masih tidur...ayah telefon maklum air sudah naik jadi saya cepat-cepat bangun dan kemas barangan penting dan tunggu di kawasan tinggi sementara pihak bomba datang selamatkan."Ini kali ketiga kejadian banjir berlaku tahun ini. Kali ini paling teruk sebab air masuk dalam rumah...saya ambil keputusan untuk berpindah kerana bimbangkan keselamatan anak-anak, tambahan pula jalan di semua kawasan telah terputus sepenuhnya," katanya.
Setakat ini, empat daerah iaitu Kubang Pasu, Sik, Padang Terap dan Pokok Sena dilanda banjir melibatkan lebih 700 mangsa dipindahkan ke PPS. - Bernama