SHAH ALAM - Tersebar satu video memaparkan seorang wanita menangis teresak-esak dan kelihatan menggigil apabila keretanya dilanggar pemandu lelaki yang disyaki mabuk.
Insiden membabitkan Perodua Axia dan Alza itu mendapat perhatian warga sekitar yang menyaksikan pertengkaran kedua-dua pihak.
Pemandu lelaki terbabit didakwa memandu dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh kereta mangsa ketika kenderaan sedang berhenti di jalan kecil.
Berdasarkan video berdurasi dua minit 28 saat itu, lelaki berkenaan menuduh wanita terbabit yang melanggarnya secara sengaja.
"Kami dah berhenti (kereta) tadi, encik (pemandu lelaki) yang langgar kami. Macam mana ini, pergi balai lah encik!” kata wanita terbabit.
Bukan itu sahaja, lelaki itu juga menyuruh wanita tersebut membaiki kenderaannya sendiri dan bertegas tidak akan membayar ganti rugi walaupun sesen.
"Awak (pemandu wanita) baiki awak punya kereta, saya baiki saya punya kereta, awak mari langgar saya lah,” ujar lelaki pertengahan umur itu.
Kejadian tersebut membuatkan wanita terbabit menangis terduduk sambil meraung kerana terlalu takut dengan si pelaku yang seolah-olah ingin lari daripada bertanggungjawab selepas didakwa memandu secara berbahaya.
Menerusi hantaran tersebut, wanita itu yang memandu Axia berwarna putih dipercayai mengalami serangan panik, namun masih berkeras mahu pemandu lelaki terbabit membayar kos kerugian berikutan terdapat kesan remuk di bahagian hadapan keretanya.
Bagaimanapun, lelaki itu tetap tidak ingin beralah apabila disoal warga sekitar di lokasi kejadian dan enggan melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.
Perbalahan itu berakhir begitu sahaja apabila pemandu lelaki dilihat terus beredar dari tempat kejadian.
Di dalam video tersebut, kedengaran suara lelaki yang mendakwa pemandu berada di bawah pengaruh alkohol dan meminta pemandu wanita membuat laporan polis.
Setakat ini tidak diketahui di mana dan waktu sebenar kejadian itu berlaku, tetapi insiden berkenaan mendapat reaksi amarah daripada warga maya.