Terkesan serangan, sekolah di Wakaf Kampung Malaysia Syria Care terpaksa henti operasi

Iklan
Tangkap layar kenyataan Syria Care pada Khamis.

SHAH ALAM - Empat sekolah tajaan rakyat Malaysia di Wakaf Kampung Malaysia Syria Care, Al-Bardaqli terpaksa menghentikan operasi akibat terkesan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam yang dilakukan rejim Al-Assad, Rusia bersama sekutunya di Idlib dan Aleppo.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, ia turut melibatkan sekolah, universiti dan institusi awam, malah penutupan itu memutuskan akses pendidikan serta perkhidmatan penting bagi komuniti yang sudah terjejas teruk dengan konflik serangan kejam ke atas orang awam.

Iklan
Iklan

"Ia melibatkan Sekolah Ulfah 1 di Aqrabat, Ulfah 3 dan Tadika Ulfah di Wakaf Kampung Malaysia Syria Care, Al-Bardaqli.

"Syria Care memohon gencatan senjata bagi memastikan keselamatan dan nyawa orang awam terus dilindungi.

Iklan

"Kami juga menuntut tindakan segera daripada komuniti antarabangsa untuk menyediakan bantuan kemanusiaan asas seperti makanan, tempat berteduh dan keperluan musim sejuk kepada mereka yang terjejas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Siti Sakinah memaklumkan, pihaknya mengecam keras serangan bertubi-tubi tembakan artileri dan peluru berpandu yang dilancarkan terhadap orang awam menyebabkan ratusan keluarga kehilangan tempat tinggal serta terpaksa menyelamatkan diri dalam cuaca musim sejuk.

Iklan

Tambah beliau, serangan berterusan telah memusnahkan penempatan awam dan menyebabkan ketakutan berleluasa dalam kalangan penduduk.

Justeru, menurutnya, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak bertanggungjawab di atas serangan kejam yang terang-terangan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Laluan keselamatan mesti diwujudkan dan dipelihara untuk membolehkan orang awam melarikan diri daripada kawasan konflik dengan selamat.

"Kami meminta individu, organisasi dan kerajaan untuk menyokong usaha kemanusiaan bagi membantu mangsa konflik ini," ujarnya lagi.