ITO diarah semak penentuan harga insurans perubatan dan kesihatan - BNM

Iklan
BNM berkata, perkara tersebut perlu dilakukan termasuk menguruskan secara berterusan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful.

SHAH ALAM - Syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) diarahkan untuk menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.

Bank Negara (BNM) dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut perlu dilakukan termasuk menguruskan secara berterusan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful.

Iklan
Iklan

"ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian sesuai untuk pemegang polisi yang sangat terkesan disebabkan oleh peningkatan premium bagi terus mempunyai perlindungan insurans.

"Ia juga perlu memastikan pilihan penyelesaian yang disediakan adalah bermakna dan menyediakan langkah tambahan untuk menyokong pemegang polisi terjejas,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, BNM perlu menyiasat dan mengkaji semula syarikat insurans yang mengeluarkan notis kenaikan caj premium antara 40 hingga 70 peratus.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, BNM tidak sepatutnya ‘lepas tangan’ hanya kerana ia keputusan perniagaan dibuat syarikat insurans kesihatan.

Iklan

BNM berkata, mereka peka mengenai kebimbangan penentuan semula harga produk MHIT oleh penanggung ITO.

"BNM kekal komited bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses kepada produk insurans dan takaful yang bersesuaian. Maklumat lanjut tentang pilihan tersedia akan diumumkan oleh industri insurans dalam masa terdekat.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos penjagaan kesihatan telah meningkat dengan ketara berikutan inflasi kos perubatan dan peningkatan penggunaan perkhidmatan serta prosedur perubatan.

"Oleh itu, pembaharuan komprehensif dan terlaras untuk membendung inflasi kos perubatan adalah sangat penting bagi memastikan akses berterusan kepada produk perlindungan MHIT yang bersesuaian,” tambahnya.

Ujar BNM, pihak berkepentingan yang relevan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), ITO, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, pengamal perubatan, kumpulan pengguna, pemegang polisi dan BNM perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat.