KUALA LUMPUR - Gabungan Teksi Malaysia (GTM) menyangkal dakwaan kebakaran sebuah teksi dalam kemalangan mengorbankan tiga nyawa di Melaka pada Khamis berpunca daripada kebocoran tangki tenaga gas asli (NGV) yang dipasang pada kenderaan terbabit.
Yang Dipertuanya, Kamarudin Hussain berkata, walaupun gabungan itu menyokong penuh keputusan kerajaan menamatkan penjualan NGV, namun pihaknya tidak bersetuju dakwaan tersebut.
"NGV tidak mudah terbakar seperti LPG, tapi kalau kenderaan terbabit menggunakan LPG, kami boleh percaya dengan dakwaan tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Dalam kejadian itu, seorang pemandu teksi dan sepasang suami isteri rentung selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbakar di Kampung Lanchang, Jalan Jasin, Merlimau.
Kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi itu mengorbankan pemandu teksi, S Subbramaniam, 71, serta penumpang Husali Umar, 84, dan Mastura Said, 63.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi memaklumkan, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran NGV yang dipasang pada teksi terbabit akibat rempuhan.
Kamarudin mewakili gabungan merakamkan ucapan takziah kepada kesemua keluarga mangsa kemalangan.
Pada masa sama, beliau berharap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dapat mengeluarkan laporan siasatan berhubung kejadian itu bagi menjawab dakwaan tersebut.