Selangor tersungkur di Stadium MBPJ

Iklan
Pemain Selangor FC Ahmad Zikri (dua dari kanan) diasak pemain Muangthong United Tristan Do (dua, kiri) pada Liga Juara-Juara AFC 2 di Stadium MBPJ malam ini. Foto Bernama

HASRAT Selangor FC untuk mengesahkan tiket lebih awal ke pusingan kalah mati tidak kesampaian selepas tewas kepada kelab Thailand, Muangthong United 1-2 dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) pada Khamis.

Kekalahan itu juga menyaksikan penampilan pertama pengendali baharu skuad Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi yang baru saja dilantik pada Sabtu lalu itu berakhir penuh kekecewaan.

Iklan
Iklan

Selangor membuka tirai jaringan seawal minit kelima selepas Quentin Cheng menyempurnakan bola yang terbias pertahanan Muangthong, Aly Cissokho.

Pelawat hadir dengan tindak balas pantas dua minit kemudian melalui penyerang, Felicio Anando Forbes yang berjaya mencuri bola daripada Umarbek Eshmurodov, namun percubaannya diselamatkan Azim Al Amin.

Iklan

Bersambung separuh masa kedua, Muangthong tampil dengan permainan lebih agresif menekan Selangor dengan beberapa peluang.

Mereka akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-53 menerusi jaringan Forbes yang memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan pintu gol Selangor.

Iklan

Ronnie Fernandez hampir meletakkan skuad Gergasi Merah kembali di depan selepas menerima hantaran Nooa Laine pada minit ke-64, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol.

Minit ke-75, Muangthong berjaya mendapatkan gol kedua berpunca sepakan penjuru Abbosjon Otakhonov yang disudahkan dengan baik oleh Poramet Arjvirai.

Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan Muangthong memotong kedudukan Selangor untuk naik ke kedudukan kedua Kumpulan H dengan lapan mata di belakang Jeonbuk Hyundai FC.

Selangor pula yang jatuh ke kedudukan ketiga mengumpul tujuh mata perlu menang ke atas Cebu FC pada perlawanan terakhir bulan depan dan perlu mengharapkan Muangthong tewas kepada Jeonbuk.