Inflasi kos tuntutan perubatan industri insurans, takaful 56 peratus dari 2021-2023

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Industri insurans dan takaful Malaysia menyaksikan kadar inflasi kos tuntutan perubatan kumulatif yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu sebanyak 56 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2023.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama daripada Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan bersama berkenaan, lonjakan itu dipacu oleh pelbagai faktor seperti peningkatan kos rawatan perubatan, teknologi penjagaan kesihatan yang canggih dan peningkatan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Sehubungan itu, kata kenyataan tersebut, hal ini menjadikan penetapan semula harga premium sebagai satu langkah yang tidak dapat dielakkan.

Iklan

"Selain daripada inflasi, kuantum penetapan semula harga juga dipengaruhi oleh faktor seperti penilaian risiko individu, pengumpulan risiko, faedah dan ciri produk serta pembayaran tuntutan yang dijangka.

"Walaupun pengendali insurans dan takaful mempunyai kitaran penetapan semula harga yang berbeza, mereka biasanya menyemak dan menyesuaikan premium setiap tiga tahun bagi memastikan kemampanan pelan insurans perubatan, dengan kesan terkumpul inflasi tuntutan yang mengakibatkan pelarasan premium meningkat," kata kenyataan itu.

Iklan

Sementara itu, persatuan-persatuan berkenaan berkata, pihak industri menyambut baik pengumuman terkini oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengenai penubuhan unit kawalan kos bagi menguruskan kos penjagaan kesihatan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kekal mampu milik sambil mengekalkan piawaian penjagaan yang tinggi.

Mereka berkata, pihak industri juga menyokong gesaan Menteri Kesihatan untuk menyediakan sistem penyampaian penjagaan kesihatan berasaskan nilai dengan memberi tumpuan kepada memberikan hasil kesihatan yang lebih baik pada kos yang mampan.

Kata persatuan-persatuan tersebut, hal ini bagi membantu mengimbangi kemampuan harga dan kualiti dalam jangka masa panjang.

"Pengenalan pilihan pembayaran bersama pada September tahun ini menawarkan penyelesaian jangka masa panjang untuk membantu pemegang polisi menguruskan polisi mereka, yang bertujuan untuk mengurangkan premium dengan berkongsi kos perubatan bersama pemegang polisi.

"Hal ini menggalakkan penggunaan penjagaan kesihatan yang lebih berhemat dalam jangka panjang," kata mereka.

Selain itu, persatuan-persatuan tersebut turut menyebut pihak industri terus berkerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menguruskan kos penjagaan kesihatan manakala pengendali insurans dan takaful, yang memahami cabaran yang dihadapi oleh pemegang polisi komited untuk memberikan sokongan yang menyeluruh.

Katanya, industri ini komited untuk melakukan penyesuaian penetapan semula harga secara berperingkat bagi menguruskan impak kepada pelanggan selain menubuhkan talian bantuan khusus untuk setiap syarikat dan program bantuan bagi memastikan kemudahan akses kepada pemegang polisi.

Selain itu, pihak industri juga menawarkan pelan pembayaran premium atau sumbangan yang fleksibel kepada pemegang polisi yang terjejas.

"Pihak industri juga komited untuk menawarkan pilihan pelan perlindungan yang berbeza pada premium atau sumbangan yang lebih rendah atau sama selain melaksanakan mekanisme pembetulan yang berkesan, termasuk saluran komunikasi khusus untuk pelanggan yang terjejas," kata mereka. - Bernama