Dua kenderaan terkandas dalam banjir kilat

Iklan
Sebuah kenderaan terkandas akibat banjir kilat di Jalan Meru - Bandar Setia Alam berdekatan sebuah stesen minyak, berikutan hujan lebat pada Khamis.

SHAH ALAM - Dua kenderaan terkandas akibat banjir kilat di Jalan Meru-Bandar Setia Alam berdekatan sebuah stesen minyak, berikutan hujan lebat pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, dua kenderaan itu jenis kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max dan sebuah Perodua Axia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.53 malam sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Ahmad Mukhlis berkata, sejurus tiba di lokasi, didapati semua mangsa telah keluar daripada kenderaan masing-masing.

"Bomba telah memberi khidmat nasihat kepada pemandu dan operasi selesai kira-kira 15 minit selepas itu," ujarnya.

Iklan

Sementara itu, beberapa kawasan di negeri ini dilaporkan dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak jam 6 petang.

Beberapa kawasan dilaporkan dinaiki air antaranya di Kampung Bukit Kapar, Bukit Kerayong, Pekan Meru dan beberapa lokasi lain.

Seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Pamek Fahmi memaklumkan, air sudah naik ke sebahagian rumah penduduk di Kampung Bukit Kapar.

Menerusi ruangan komen pula, pemilik akaun Syaffiq Abdullah turut berkongsi video rumah digenangi air di Meru Indah.