KUALA LUMPUR - Ananda Krishnan yang meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun, meninggalkan jejak besar dalam dunia korporat Malaysia susulan kejayaan mengasaskan beberapa syarikat terkemuka dan muncul antara individu terkaya di negara ini.
Dilahirkan di Brickfields di sini, taikun perniagaan itu merupakan pengasas dan membangunkan syarikat dalam bidang telekomunikasi, televisyen satelit, perkhidmatan medan minyak dan pembangunan hartanah - industri yang sememangnya menjadi sebahagian daripada landskap korporat Malaysia.
Barisan syarikat Ananda daripada TGV Cinemas kepada Maxis Bhd, Astro Holdings, Bumi Armada, MEASAT Satellite Systems dan Tanjong Plc serta produk-produk yang ditawarkan, juga dikenali, malah menjadi sebahagian daripada nama isi rumah di Malaysia.
Selain itu, sumbangan besar dikaitkan dengan Ananda di Kuala Lumour adalah penglibatannya dalam pembangunan mercu tanda ikonik Menara Berkembar Petronas dan hartanah sekitar Suria KLCC.
Tidak kurang pentingnya adalah MEASAT atau kini dikenali sebagai Binariang Sdn Bhd yang melancarkan dua satelit pertamanya pada 1996, sekali gus menyaksikan Malaysia menembusi industri teknologi angkasa.
Kejayaan itu turut membuka jalan bagi perkhidmatan telefon dan transmisi data di seluruh negara.
Kenyataan oleh syarikat pegangan pelaburan diterajui beliau selaku pengerusi, Usaha Tegas Sdn Bhd, hari ini menyifatkan Ananda sebagai memberi sumbangan besar terhadap pembinaan negara serta dunia korporat.
"Sifat dan inisiatif dermawan beliau dalam usaha kebajikan telah memberi manfaat kepada banyak pihak. Kami dengan rendah hati memohon agar hasrat keluarga untuk berkabung secara tertutup, dapat dihormati,” menurut syarikat itu.
Selain dikenali sebagai usahawan berwawasan dan dermawan, Ananda juga mahir dalam selok belok mencapai janji niaga serta ketangkasan tindak tanduk korporat, terutama dalam landskap media dan telekomunikasi.
Walaupun bergelar bilionair, sisi lain Ananda sebagai individu sebaliknya lebih tertutup, tidak banyak bercakap dan tidak gemar dengan publisiti media.
Namun, ketangkasannya dalam tindak tanduk korporat menjadikan beliau sebagai bahan bualan dunia perniagaan, tidak hanya di Malaysia tetapi juga di negara asing menerusi pelbagai usaha yang merentasi banyak sektor, termasuk perkhidmatan berkaitan minyak dan gas.
Beliau meninggalkan anak lelaki tunggal, Ven Ajahn Siripanyo yang mana ibunya, Momwajarongse Suprinda Chakraban, berketurunan diraja Thailand.
Selain Ven yang kini merupakan seorang sami Buddha, Ananda mempunyai dua anak perempuan.
Tidak banyak yang tahu, Ananda juga dilaporkan membantu menjayakan penganjuran konsert Live Aid bagi sumbangan dana dengan konsert terbesar serta paling signifikan pada 1985 yang menampilkan persembahan hebat oleh kumpulan rock Queen dan penyanyi utama, Freddie Mercury.
Menurut media kewangan Forbes, Ananda yang juga seorang Buddha, membantu dalam usaha mengumpulkan dana sebanyak AS$240 juta bagi konsert Live Aid yang menyumbang kepada usaha membasmi kemiskinan di Afrika.
Nilai kekayaan Ananda dilaporkan bernilai AS$5.1 bilion setakat 27 November, 2024, demikian menurut senarai bilionair terkini Forbes dan menjadikan beliau sebagai individu ketiga terkaya di Malaysia.
Kehidupan Awal dan Kerjaya
Ananda yang dilahirkan pada 1938 di Brickfields, mempunyai keturunan dari Sri Lanka.
Perjalanan akademik beliau bermula di Sekolah Tamil Vivekananda dan seterusnya Victoria Institution yang berprestij di ibu negara.
Beliau melanjutkan pengajian dan meraih Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dan Ekonomi di Universiti Melbourne, Australia dan seterusnya Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Harvard di Amerika Syarikat.
Ananda memulakan kerjayanya dengan mengasaskan sebuah firma perunding, MAI Holdings Sdn Bhd, sebelum menceburi industri minyak dan gas menerusi Exoil Trading dan memperoleh permit cari gali di pelbagai negara.
Kepintaran perniagaan yang dimiliki beliau membawa kepada penciptaan sebuah empayar besar yang merangkumi pelbagai sektor meliputi telekomunikasi (Maxis Bhd), media dan satelit (Astro dan Measat), minyak dan gas (Bumi Armada), Tanjong Public Ltd Company, meliputi TGV Cinemas dan perniagaan aktiviti riadah.
Jejak Ananda turut bertapak dalam pembangunan hartanah.
Ketangkasan Tindak-tanduk Korporat Jadi Tumpuan
Ananda, yang mengasaskan Maxis Bhd pada 1 April, 1993, telah menyumbang kepada banyak kejayaan dalam syarikat telekomunikasi itu.
Antara tindakan beliau adalah menjadikan Maxis sebagai sebuah syarikat persendirian pada 2007, dianggap antara pengambilalihan terbesar dalam korporat Malaysia dengan nilai yang amat besar iaitu RM16.4 bilion dan menyenaraikannya semula pada 19 Nov, 2009.
Maxis kemudiannya berkembang menjadi antara 30 syarikat teratas dalam Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia dan antara tiga penyedia telekomunikasi terbesar.
Maxis kini mempunyai lebih 13 juta pelanggan manakala pengendali satelit Measat, yang mengendalikan Pusat Teleport dan Penyiaran MEASAT bertaraf dunia di Cyberjaya, Selangor, mempunyai jejak satelit meliputi 130 negara.
Pada 16 Julai tahun ini, Ananda sekali lagi menjadi tumpuan dengan cakap-cakap pasaran menjurus bahawa Maxis sedang meneroka untuk membeli U Mobile Sdn Bhd.
Bagaimanapun, perkara itu kemudiannya disahkan oleh agensi berita asing bahawa Tan Sri Vincent Tan, yang merupakan antara pemegang saham utama U Mobile, telah menolak tawaran itu.
Baru-baru ini timbul berita bahawa syarikat perkhidmatan medan minyak dengan pegangan terbesar oleh Ananda, Bumi Armada Bhd, dikatakan sedang mempertimbangkan untuk membeli perniagaan tenaga luar pesisir MISC Bhd.
Kedua-dua syarikat itu dilaporkan sedang meneroka penggabungan, khususnya melibatkan aset pengeluaran, penyimpanan dan penghantaran terapung (FPSO) Bumi Armada.
Hulur Bantuan Kepada Insan Memerlukan
Terkenal dengan sifat dermawan dan kemurahan hati menerusi usaha kebajikan, Ananda berperanan penting dalam membawa acara global seperti Live Aid, memanfaatkan platform media untuk memacu usaha amal.
Beliau secara berterusan menyumbang untuk tujuan amal serta kepada institusi pendidikan dan badan-badan lain.
Kerja-kerja amal lain adalah melalui yayasan seperti Harapan Nusantara dan Yu Cai Foundation, yang menyediakan biasiswa untuk kalangan pelajar tempatan dan menyokong pembangunan pendidikan.
Ananda akan dikenang sebagai perintis yang mengubah sektor media, telekomunikasi dan hiburan Malaysia.
Pastinya, inovasi dan sumbangan beliau turut menyumbang dari segi melonjakkan kedudukan Malaysia dalam perniagaan dan teknologi global. - Bernama