KUALA LUMPUR - Empat warga asing antara 60 individu didapati positif dadah menerusi serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail di sini pada Khamis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, serbuan dijalankan pihaknya kira-kira jam 4.30 pagi susulan risikan dan maklumat yang diterima.
Beliau berkata, seramai 181 orang pengunjung yang berada di premis tersebut telah ditahan dan kesemua mereka telah dibuat ujian saringan awal air kencing.
"Hasil ujian dan pemeriksaan lanjut mendapati seramai 60 individu didapati positif dadah dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
"Kesemua individu ditahan melibatkan 56 warga tempatan dan empat warga asing berumur antara 20 hingga 42 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jumlah keseluruhan rampasan dadah sebanyak 393.1 gram jenis MDMA, 22.9 gram ketamine, dan 0.8 gram ganja yang bernilai RM 63,530.
"Sampel urin dan dadah telah dihantar ke Jabatan Patologi dan Kimia untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati pusat hiburan ini mempunyai lesen perniagaan yang sah.
"JSJN tidak akan berkompromi atau bertolak ansur dengan mana-mana individu, termasuk orang kenamaan yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
"Tindakan tanpa diskriminasi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat, tanpa mengira latar belakang keluarga, mengikut undang-undang yang sedia ada," katanya.