PUTRAJAYA - Kebimbangan seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berasal dari Sabah mengenai kemungkinan dia tidak akan menerima biasiswa kerana ibunya belum mendapat taraf pemastautin tetap (PR), mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kebimbangan itu telah disuarakan Stephanie Juditha Sebastian ketika sesi dialog bersama Perdana Menteri pada Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.
Stephanie berkata, walaupun dilahir dan dibesarkan di Sabah, ibunya sehingga kini masih belum mendapat kewarganegaraan Malaysia dan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan sejak 1990, ia masih belum membuahkan sebarang hasil.
"Ini sangat merisaukan saya kerana untuk memohon biasiswa (antara syarat) kedua-dua ibubapa kena ada kewarganegaraan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan pernah menyuarakan isu itu kepada Menteri Dalam Negeri tahun lepas, tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas.
Anwar kemudian meminta pelajar itu untuk menyerahkan surat rasmi berserta dokumen lengkap kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk tindakan lanjut.
Ahmad Zahid yang juga hadir pada sesi dialog itu, kemudiannya meminta pelajar berkenaan menyerahkan surat tersebut terus kepadanya.
"Bagi surat pada uncle, biar uncle selesaikan,” katanya. - Bernama