Musim tengkujuh waktu berjaga-jaga

Iklan
Gambar hiasan.

MUSIM hujan di Malaysia kebelakangan ini sering kali membawa perubahan mendadak, dengan tiba-tiba hujan lebat yang turun tanpa amaran yang jelas.

Mungkin fenomena itu sudah menjadi perkara biasa, menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat tetap meneruskan program di luar seperti berkelah dan melakukan aktiviti air, tanpa menyedari risiko menanti.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini laporan tiga individu meninggal dunia dipercayai lemas akibat dihanyutkan kepala air ketika sedang menjalani kursus pengukuhan kerja berpasukan.

Selain itu, kes individu lemas selepas terjatuh dalam sungai ketika memancing, wanita yang dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda dan banyak lagi kes lain dilaporkan media.

Iklan

Itu antara kes yang bukan sahaja membimbangkan, tetapi turut menimbulkan persoalan mengenai tahap kesedaran keselamatan awam dalam menghadapi cabaran cuaca yang tidak menentu kini.

Apakah tiada sekelumit rasa bimbang apabila memilih untuk mengadakan aktiviti sedemikian, sedangkan ada sahaja kes kehilangan nyawa dilaporkan?

Iklan

Memang tidak dinafikan, berkelah dan melakukan aktiviti air antara aktiviti yang menyeronokkan, namun risiko yang terlibat tidak boleh dipandang enteng.

Setiap individu harus bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan orang lain dengan mematuhi peraturan keselamatan serta mengambil langkah berjaga-jaga sebelum meneruskan sebarang aktiviti berkenaan.

Kejadian tragis yang berlaku akibat cuaca buruk harus menjadi pengajaran bahawa keseronokan tidak seharusnya mengatasi keselamatan.

Tanda amaran

Salah satu ancaman utama ketika melakukan aktiviti air di musim hujan adalah fenomena arus deras. Arus sungai atau pantai boleh menjadi lebih kuat selepas hujan lebat, menyebabkan peningkatan risiko bagi individu yang kurang berwaspada.

Air yang tenang pada waktu pagi boleh berubah dengan pantas apabila hujan turun, menjadikan aktiviti seperti berenang, berkanu, atau berperahu berisiko tinggi.

Sering kali, mereka yang terlibat dalam aktiviti ini tidak menyedari perubahan tersebut sehingga mereka terperangkap dalam keadaan yang berbahaya.

Sebagai contoh, arus sungai yang mengalir dengan laju akibat hujan lebat boleh menyebabkan kes hanyut. Begitu juga di pantai yang mana ombak biasanya tenang menjadi bergelora, dengan arus yang lebih kuat, menyebabkan risiko lemas.

Demikian juga dengan kawasan tinggi atau kawasan tanah rendah. Hujan lebat berterusan bukan sahaja menyebabkan paras air naik, tetapi juga meningkatkan kemungkinan berlakunya banjir kilat dan luncuran tanah.

Merujuk kepada laporan Sinar Harian bertarikh 26 November, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ts Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan statistik kes kematian akibat lemas di air secara purata direkodkan sebanyak 320 kes setiap tahun.

Malah menurutnya, sejak 1 Januari lalu hingga November, sebanyak 265 kes kematian telah direkodkan di seluruh negara.

Sehubungan itu, Nor Hisham Mohammad meminta kerjasama semua pihak termasuk pengusaha pelancongan berkaitan aktiviti air supaya sentiasa menasihati pelanggan masing-masing berhubung bahaya di kawasan perkelahan pada musim tengkujuh ini.

Nasihat penulis, sebelum melakukan sebarang aktiviti luar, sebaiknya periksa terlebih dahulu ramalan cuaca terkini. Pada masa sama, elakkan berkunjung ke tempat berisiko, lebih-lebih lagi jika kawasan tersebut bakal mengalami hujan lebat atau ribut.

Oleh itu, kesedaran dan pengetahuan tentang cuaca serta langkah-langkah keselamatan adalah amat penting untuk memastikan aktiviti luar tetap menyeronokkan dan selamat.

Lebih baik lagi, tidak perlu mengadakan aktiviti dalam cuaca sebegini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Betul tak?

* Zaiton Abdul Manaf ialah Editor Rencana Sinar Plus