Anak tahap kognitif biasa, tapi ibu bapa rasa anak berbakat

Iklan
Cadangan KPM melaksanakan transformasi terhadap sistem SPM terutamanya aspek had umur perlu mengambil kira tahap kemampuan pelajar. Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Hasnah)

SHAH ALAM - Cadangan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan transformasi terhadap sistem Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutamanya aspek had umur supaya tidak menghalang pelajar berbakat maju ke hadapan perlu mengambil kira tahap kemampuan pelajar.

Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Hasnah Toran berkata, beliau bersetuju dengan cadangan itu namun beberapa aspek perlu diteliti dan dipertimbangkan sekiranya benar-benar ingin melaksanakan inisiatif tersebut.

Iklan
Iklan

Jelasnya, tidak dinafikan ada anak-anak yang mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lain.

"Di UKM ini, kami ada Permata Pintar yang merupakan sekolah untuk anak-anak yang mempunyai IQ tinggi. Jika mereka hendak ambil SPM lebih awal, kenapa kita hendak halang,” katanya.

Iklan

Namun kata Hasnah, berdasarkan pengalamannya, ada segelintir ibu bapa yang bersikap berlebihan terhadap anak-anak mereka.

Dalam kes tertentu, ada anak-anak mempunyai tahap kognitif biasa sahaja, tetapi ibu bapa merasakan anak mereka berbakat.

Iklan

Kata beliau lagi, terdapat ibu bapa yang mendesak anak mereka menduduki peperiksaan itu ketika usia 16 tahun.

Menurutnya, ibu bapa itu memberi tekanan kepada anak mereka untuk mencapai keputusan paling cemerlang sehingga ada pelajar mengambil SPM hingga puluhan subjek.

Hasnah berkata, ada ibu bapa yang sanggup pergi ke sekolah dan memaksa nama anak mereka dimasukkan dalam senarai menduduki SPM lebih awal, sedangkan anak mereka tidak bersetuju mahupun bersedia menghadapi peperiksaan itu.

Beliau berpandangan, walaupun tiada masalah untuk menduduki peperiksaan lebih awal sekiranya pelajar terlibat mempunyai IQ yang tinggi, namun ibu bapa juga perlu sedar dan memahami tahap kemampuan anak masing-masing.

Kata Dr Hasnah, walaupun ada pelajar yang amat berbakat dan genius namun menduduki SPM lebih awal dari usianya bukanlah untuk semua individu.

Sehubungan itu, Hasnah berkata, KPM perlu bertimbang rasa dan memikirkan cara bagaimana hendak menangani ibu bapa yang terlebih ghairah untuk menekan anak mereka.

Ujarnya, penelitian perlu dilakukan bagi memastikan inisiatif tersebut tidak memberi tekanan kepada pelajar terlibat.

"Harapan saya, ibu bapa janganlah melebih-lebih menekan anak untuk ambil SPM pada usia 16 tahun,” kata beliau.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Ekonomi Sumber Manusia, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Sharifah Rahama Amirul mencadangkan agar KPM melaksanakan transformasi SPM khususnya dari aspek had umur minimum 16 tahun pada 1 Januari untuk menduduki peperiksaan itu supaya memberi peluang kepada pelajar berbakat luar biasa untuk maju lebih awal tanpa terikat kepada had umur.